Terminal feri guna palang automatik - Utusan Malaysia

Terminal feri guna palang automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 4 Okt. – Selain di Kuala Kedah, Terminal Feri di Kuala Perlis di sini sememangnya menjadi tumpuan pelancong sama ada dalam dan luar negara untuk ke Pulau Langkawi.

Berdasarkan statistik, lebih 60 peratus daripada kira-kira lima juta pelancong ke pulau peranginan terkenal tersebut menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis.

Justeru, dalam usaha memberi lebih keselesaan kepada pengguna, sistem berpalang automatik diperkenalkan di Terminal Feri Kuala Perlis, mulai Januari tahun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Ja­ba­tan Laut Wilayah Utara, Kapten Abdul Samad Shaik Os­man berkata, pa­da peringkat awal, sistem berkenaan mu­la dilaksanakan secara percubaan bermula 1 Oktober lalu.

Katanya, sistem ber­­palang automatik berkenaan diperkenalkan bagi menaik taraf sistem pengurusan terminal itu selain memberi keselesaan kepada pengguna feri.

“Jadi sememang­nya menjadi tanggungja­wab kami untuk menyediakan kawalan ma­suk penumpang yang lebih sistematik.

“Selain itu, ia juga bertujuan bagi mendapatkan maklumat pe­numpang feri. Me­lalui pengimbas ini, kita dapat mengetahui siapa me­naiki feri untuk tujuan keselamatan mereka sendiri.

“Sama seperti menaiki kapal terbang, kita perlu memberi maklumat sebelum membeli tiket. Justeru, jika berlaku kejadian tidak diingini, kita tahu siapa penumpang terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia sini baru-baru ini.

Sistem sebelum itu, kata­nya, penumpang dikehendaki mengisi maklumat diri ketika membeli tiket di kaunter, namun lama-kelamaan ia terpaksa diabaikan apabila keada­an sesak.

“Melalui sistem ini, pembeli perlu mengisi maklumat diri terlebih dahulu jika membeli tiket secara dalam talian. Malah, sistem pembelian tiket di kaunter juga dinaik taraf apabila mereka perlu mengemukakan kad pe­ngenalan atau pasport.

“Melalui kaedah ini, kita dapat mengesan jumlah sebenar penumpang. Kita tidak mahu ada lagi tanggapan bahawa kita menjual tiket lebih sehingga tidak ada kerusi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Samad berkata, sistem pengurusan le­bih sistematik itu juga bertujuan mendisiplinkan pengguna feri selain mengelakkan kesesakan di dalam terminal.

Katanya, sebagai contoh, jika pengguna datang awal sebelum kaunter tiket dibuka, mereka akan menunggu di dalam terminal sehingga menyebabkan keadaan menjadi sesak.

“Oleh itu, melalui sistem berpalang automatik, hanya pemegang tiket dibenarkan masuk (di dalam terminal) sejam awal. Kita tidak mahu berlaku kesesakan lagi. Kita mahu semua pengguna feri selesa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini