KUALA LUMPUR – Petronas bersama rakan kongsi usaha samanya (JV) telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) mengenai LNG Kanada, satu projek gas asli cecair (LNG) di Kitimat, British Columbia, Kanada.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, Petronas akan memegang kepentingan penglibatan sebanyak 25 peratus dalam projek itu melalui anak syarikat milik penuh, North Montney LNG Ltd. Partnership (NMLLP).
“Peserta JV lain seperti Royal Dutch Shell Plc. akan memegang 40 peratus melalui subsidiari, Shell Canada Energy; PetroChina Company Ltd. melalui anak syarikatnya, PetroChina Canada Ltd. (15 peratus); Mitsubishi Corporation melalui anak syarikat milik penuh, Diamond LNG Canada Ltd. (15 peratus) dan Korea Gas Corporation menerusi unit milik penuh, Kogas Canada LNG Ltd (5 peratus).
“Projek ini dikendalikan di bawah seliaan LNG Canada Development Inc. (LNG Canada),” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Wan Zulkiflee, keputusan mengenai FID itu merupakan batu loncatan untuk Petronas dan industri tenaga di Kanada.
“Keputusan itu menjadi bukti kepada kerjasama kukuh dalam kalangan rakan-rakan kami dan pihak-pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi yang sama bagi menyampaikan nilai jangka panjang, sejajar dengan komitmen kami terhadap pembangunan mampan dan bertanggungjawab terhadap sumber,” katanya.
Beliau memaklumkan, projek LNG itu, yang pertama di Kanada, akan memberi tambahan nilai pada sumber gas di kawasan Utara Montney dan mengukuhkan portfolio pembekalan LNG Petronas untuk pasaran Asia.
“Kemudahan bagi pengeksportan LNG tersebut akan dibina di Kitimat, meliputi reka bentuk, pembinaan, pengoperasian loji pencairan gas asli, kemudahan untuk simpanan, eksport LNG dan fasiliti marin.
“Pada peringkat permulaan LNG Kanada akan terdiri daripada dua unit pemprosesan pencairan LNG, yang dirujuk sebagai Trains sebanyak 14 juta tan setahun.
“Terdapat potensi untuk diperluaskan kepada empat Trains pada masa hadapan,” katanya.
Petronas dan rakan JV North Montney merupakan salah satu pemilik sumber gas asli terbesar di Kanada dengan lebih 52 trilion kaki padu rizab dan sumber-sumber luar jangka.











