Tempoh dua hari perbaiki pasukan - Utusan Malaysia

Tempoh dua hari perbaiki pasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Pahang memerlukan dua hari lagi untuk menetapkan kesebelasan utama selepas kehilangan penjaring utamanya bagi menghadapi Terengganu dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-Raja Ke-78, Ahad ini.

Tanpa khidmat Faizal Rani yang mengumpul tiga gol musim ini namun digantung kerana dua kad kuning, tuan rumah perlu merombak jentera serangan khususnya menjelang perhitungan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu.

“Kami bakal kehilangan khidmat penjaring utama, Faizal Rani bagi final jadi sudah tentu sedikit rombakan kesebelasan utama diperlukan.

“Belum dapat dimuktamadkan siapa pengganti Faizal tetapi mungkin jurulatih dapat memutuskannya dalam sesi latihan dua hari terakhir ini,” kata pengurus pasukan Pahang, Rosli Haris.

Semalam, skuad Hamzah Mat Yunus ini mengadakan perlawanan pemanas badan dengan menewaskan Armor United 3-1 di Padang Kem Batu 9, Kuantan yang lebih bertujuan menguji taktikal baharu dan gandingan serta kecergasan pemain.

Kehilangan Faizal pasti dirasai Pahang kerana dia turut membantu membenam naib juara musim lalu, Kelantan 4-2 dalam separuh akhir di Kuala Lumpur, 8 Oktober lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN