Tarikan baharu Tasik Shah Alam - Utusan Malaysia

Tarikan baharu Tasik Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 30 Okt. – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini berkenan merasmikan empat tarikan baharu di Taman Tasik Shah Alam di sini yang dibina untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Tarikan itu ialah jambatan kanopi, menara tinjau, titi gantung dan trek basikal kanak-kanak yang dibina oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad berkata, tarikan baharu yang dibina dengan kos RM1.9 juta melibatkan kawasan Tasik Barat.

Katanya, tarikan itu termasuk jambatan sepanjang 147.6 meter yang dibina pada ketinggian tiga meter manakala titi gantung sepanjang 60 meter pada ketinggian sama.

“Menara tinjau pula dibina dengan ketinggian enam meter dan terletak di kawasan berbukit bagi membolehkan pengunjung menikmati pemandangan tasik dari tempat tinggi.

“Turut dibina ialah trek berbasikal kanak-kanak sepanjang 129 meter untuk menyediakan kemudahan riadah yang selamat,” katanya dalam majlis perasmian di tasik itu.

Ahmad Zaharin dalam pada itu berharap pengunjung dapat bersama-sama menjaga kemudahan awam yang disediakan itu supaya dapat digunakan dengan selamat dan selesa.

“Saya harap penyediaan kemudahan ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin di samping mendidik kanak-kanak terhadap pentingnya mengekalkan kehidupan hijau di bandar raya Shah Alam.

“Keindahan persekitaran Ta­man Tasik Shah Alam perlu dikekalkan dengan kerjasama dan penglibatan orang ramai sekali gus mengurangkan kos pembaikan serta penyelenggaraan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN