PERMATANG PAUH 21 Okt. – Ketika mula-mula dibuka hampir dua tahun lalu, kawasan itu didakwa akan dijadikan tempat meletak bot milik nelayan tempatan.
Namun, saban hari semakin banyak sampah sarap dan sisa binaan dilonggokkan di kawasan hampir seluas sebuah padang bola sepak di penghujung Lorong Jelawat berhampiran Sungai Perai dekat Seberang Jaya di sini.
Lebih memburukkan keadaan, pihak tidak bertanggungjawab itu akan membakar sampah itu setiap hari sehingga menimbulkan masalah bau busuk serta kadangkala mengganggu penglihatan pemandu yang menggunakan Lebuh Raya Butterworth-Kulim.
Sebahagian daripada tapak pelupusan sampah haram itu berada di atas tanah milik kerajaan negeri, manakala sebahagian lagi tanah persendirian yang diserahkan kepada sebuah pertubuhan Cina.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pertubuhan terbabit bagaimanapun mendakwa tanah itu diceroboh pihak tertentu sebelum mereka sempat membangunkannya.
“Tapak ini beroperasi hampir dua tahun secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri dan mendapat bantahan daripada penduduk setempat yang terkesan dengan aktiviti pembuangan sampah serta pembakaran secara terbuka,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pembersihan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Tambahnya, pihak MPSP telah menyerahkan notis kepada pemilik tapak itu agar mereka merobohkan struktur binaan yang ada dan sekiranya ingkar, tindakan keras akan diambil.











