SAUDARA PENGARANG,
JENAYAH rogol kelihatan tiada penghujungnya. Seringkali berita rogol terpampang di dada akhbar, disiarkan menerusi kaca televisyen dan disebarkan di laman sosial. Lebih menghampakan apabila golongan remaja turut terjebak melakukan perbuatan terkutuk ini.
Belia kini sudah lemas dalam kancah gejala sosial yang terus subur bagai tumbuhnya cendawan pada musim hujan.
Hal ini dapat dikaitkan dengan kes remaja perempuan bawah umur yang dirogol 10 remaja lelaki berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun baru-baru ini.
Bersikap rakus seperti binatang kerana tidak memikirkan impak negatif yang bukan sahaja melanda mereka tetapi mangsa rogol yang masih mentah.
Di manakah keadilan buat mangsa rogol apabila cuma denda dikenakan terhadap suspek?
Kerajaan baharu perlu memandang serius dengan mengenakan hukuman lebih berat dalam usaha untuk mendidik suspek.
Tidak dapat diragui lagi, pendedahan unsur seks yang keterlaluan menjadi punca kepada permasalahan ini.
Ibu bapa sepatutnya menjadi jentera utama dalam memberikan didikan yang sempurna kerana anak-anak ini diibaratkan sebagai kain putih.
SITI NUR SYAFIQAH SALIM
Lenggeng, Negeri Sembilan











