PUTRAJAYA 18 Okt.- Para penyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkumpul di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi menyatakan sokongan solidariti kepada Presiden UMNO itu.
Mereka yang terdiri daripada pemimpin dan ahli UMNO dilihat berkumpul di luar bangunan SPRM sejak 2 petang.
Antara dilihat hadir, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faizal Ismail Aziz dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 3 petang.
Menurut sumber, beliau semalam menerima notis SPRM untuk hadir pada hari ini bagi merakam keterangannya yang dipercayai berhubung dakwaan penyelewengan dana yayasan milik keluarganya, Yayasan Akal Budi.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan, tidak menolak kemungkinan Ahmad Zahid akan ditahan hari ini sebelum dibawa ke mahkamah esok untuk pendakwaan.
Pada minggu lalu, Ahmad Zahid telah dipanggil memberi keterangan selama tiga kali berturut-turut selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu.
Selain Ahmad Zahid, turut dipanggil memberikan keterangan ialah anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah dan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi @ Hamidi. – UTUSAN ONLINE










