PULAU PINANG 20 Okt. – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menunggu laporan penuh serta siasatan lengkap berhubung tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini, sebelum membuat sebarang ulasan.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, ketika ini, pihaknya hanya mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat bagi mengetahui sejauh mana perkembangan kes berkenaan.
“Kita juga akan panggil pihak-pihak konsultan atau pakar runding yang terlibat bagi membincangkan mengenai projek ini secara lebih lanjut selepas ini.
“Apa yang penting adalah runtuhan ini berlaku ketika tiada sebarang aktiviti atau kerja-kerja pembinaan dilakukan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Projek pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Bukit Kukus dan Paya Terubong itu merupakan projek di bawah seliaan MBPP.
Dalam pada itu, Tung Seang juga enggan mengulas nilai atau bentuk pampasan yang akan diberikan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam runtuhan berkenaan buat masa.
“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai soal itu (pampasan). Kita tunggu dululah, tengok macam mana,” katanya. -UTUSAN ONLINE










