MUKADIMAH
WALAUPUN isu pemberhentian kerja dan pengangguran bukan masalah baharu, ia tetap meresahkan majoriti rakyat di negara ini. Malah, pakar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan berpandangan masalah ini antara perkara yang perlu diberikan perhatian serius.
Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI bersama penganalisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), DR. BAAYAH BABA bagi mendapatkan ulasan lanjut.
UTUSAN: Bagaimanakah Dr. melihat isu ini. Adakah ia salah satu penanda aras kepada kelembapan ekonomi negara?
DR. BAAYAH: Ya. Jumlah pekerja diberhentikan sudah semestinya dapat memberi gambaran jelas berkenaan situasi ekonomi pada masa kini yang agak mencabar.
Kita juga perlu lihat jumlah kehadiran pelabur asing sekarang yang menurun. Tetapi dalam masa sama, masalah ini bukan hanya terletak kepada satu punca atau satu bidang semata-mata. Ia turut disebabkan faktor lain lebih-lebih lagi akibat perkembangan teknologi terkini.
Adakah jumlah pekerja diberhentikan akan terus meningkat pada masa akan datang?
Mungkin terus meningkat. Semuanya bergantung kepada banyak faktor. Kerajaan sepatutnya berada dalam langkah berjaga-jaga menangani isu ini.
Bagaimanakah kerajaan boleh mengambil tindakan atau inisiatif mengurangkan isu pemberhentian pekerja?
Perlu ada penglibatan kedua-dua pihak sama ada kerajaan mahupun sektor korporat. Malah, majikan tidak boleh buat keputusan terburu-buru. Jadikan membuang (pekerja) sebagai pilihan terakhir. Gantikan pelaksanaan lain seperti potongan gaji dan masa bekerja sebagai langkah penjimatan kos operasi. Apa yang penting, sekurang kurangnya mereka boleh membuat kerja separuh masa nanti. Saya bimbang timbul masalah lain seperti peningkatan kes jenayah jika isu ini tidak ditangani.
Adakah isu pemberhentian pekerja memberi kesan kepada golongan pencari kerja lain terutama graduan?
Tidak semestinya kita hidup dalam situasi yang mana teknologi berkembang. Peralihan teknologi memerlukan seseorang individu untuk mempelajari kemahiran baharu dengan pantas. Oleh itu, graduan perlu rajin berusaha dengan menyertai kursus tertentu.
Pembentangan bajet akan dilakukan tidak lama lagi. Apakah jangkaan terhadap langkah kerajaan bagi menangani isu ini?
Saya berharap kerajaan memberi peruntukan lebih untuk mewujudkan skim latihan atau skim usahawan bagi membantu pekerja yang diberhentikan atau graduan. Dalam masa sama, apa yang perlu dilakukan sekarang tumpu kepada soal ekonomi, bukan hanya menuding jari mencari kesalahan pihak lain. Wujudkan peluang baharu dengan menerokai sektor lain.










