Tak perlu hantar surat, mesej mohon maaf - Rafizi - Utusan Malaysia

Tak perlu hantar surat, mesej mohon maaf – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta individu yang pernah menyebarkan perkara yang tidak betul mengenai dirinya atau bersangka buruk tidak perlu menghantar surat atau mesej permohonan maaf.

Surat permohonan maaf yang dikongsi oleh Rafizi di Facebook beliau.-UTUSAN ONLINE
Surat permohonan maaf yang dikongsi oleh Rafizi di Facebook beliau.-UTUSAN ONLINE 

Rafizi berkata, beliau sering mendapat surat atau pun mesej melalui Whatsapp atau Messenger untuk memohon maaf.

Rafizi menengaskan beliau tidak pernah mengambil hati terhadap segala perkara yang tidak betul yang disebarkan mengenai dirinya dan dia sedia memaafkan perbuatan tersebut.

“Saya sering mendapat surat begini ataupun mesej melalui Whatsapp atau Messenger. Jika saya mendapat surat yang dihantar khusus begini, saya akan menjawab kembali dengan letterhead yang cantik (ha, ha, ha).

“Saudara-saudari tidaklah perlu berbuat begitu kerana saya tidak pernah mengambil hati dan selalunya saya memaafkan sesiapa pun dengan pantas,” kata Rafizi dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Rafizi, sejak tahun 2010 apabila kembali mendepani pimpinan PKR, setiap masa dia diserang dan menjadi bahan kontroversi.

Rafizi berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 ada penyokong Pakatan Harapan yang sebelum ini memujinya kini turut menghamburkan kata-kata yang kesat.

“Itu lumrah dan jika saya tidak bersedia untuk menerima lumrah itu, saya tidak wajar menawarkan diri menjadi orang politik.

“Sebab itu dari awal lagi saya tidak pernah mengambil hati atau berdendam dengan sesiapa yang memaki hamun saya,” kata Rafizi.

Jelas Rafizi, beliau juga tidak pernah berasa bangga bila dipuji kerana mengetahui orang yang terlalu senang memuji juga selalunya senang berubah mengeluarkan kata-kata kesat.

Menurut beliau, petua kebahagian yang dia amalkan ialah tidak tidak pedulikan kata manusia dan hanya takut dan pedulikan pandangan Allah SWT terhadapnya.

Rafizi yang kini berhadapan dengan pemilihan PKR panas dengan tuduhan politik wang dan disemarakkan lagi dengan kejutan balas oleh pasukan yang rapat dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN