MANCHESTER 5 Okt. – Jose Mourinho mengakui, ia sesuatu yang tidak boleh diterima jika Manchester United gagal mengalahkan Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris esok.
Seandainya gagal meraih tiga mata di Old Trafford, itu bermakna United mengharungi lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan.
Kemenangan terakhir yang diraih Red Devils adalah menumpaskan kelab Switzerland, Young Boys 3-0 dalam Liga Juara-Juara pada 20 September lalu. Sejak itu, mereka seri dua kali dan kalah dua.
“Ya, saya setuju,” kata Mourinho, ketika ditanya apakah ia sesuatu yang sukar diterima jika skuad bimbingannya menyamai rekod buruk musim 2015/2016 ketika United gagal mencatat lima kemenangan pada November dan Disember di bawah bimbingan Louis van Gaal.
Kegagalan mengalahkan Newcastle juga bermakna, mereka mengharungi lima perlawanan di tempat sendiri tanpa kemenangan buat kali pertama sejak November hingga Februari musim 1989/1990.
“Ia (kemenangan) amat penting.
“Saya tahu, kami baru memasuki awal Oktober dan kalau lihat jadual seluruh Eropah dan liga, ia masih panjang dan apa yang berlaku pada awal Oktober tidak memberi kesan kepada keseluruhan perjalanan atau penghujung musim.
“Bagaimanapun, kami keciciran mata dalam dua aksi terakhir Liga Perdana dengan hanya mengutip satu daripada enam mata ditawarkan. Jadi, kami berada di posisi yang mana satu lagi kesilapan sukar diterima,” katanya lagi dalam sidang akhbar menjelang perlawanan esok.
Sementara itu, United akan menerima kunjungan Newcastle tanpa tiga tonggak – Jesse Lingard, Ander Herrera dan Marcos Rojo, namun Ashley Young dijangka cergas untuk beraksi. – AGENSI










