IPOH 15 Okt. – Remaja perempuan yang meninggal dunia bersama bayi lelakinya di Taman Kerian Permai, di Parit Buntar semalam terpaksa menahan sakit lebih enam jam di dalam bilik air bagi melahirkan anaknya itu sebelum ditemukan tidak bernyawa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, remaja tersebut yang berkurung di dalam bilik air berkenaan sejak pukul 8.30 pagi ditemukan tidak sedarkan diri oleh ibunya kira-kira pukul 2 petang selepas berjaya memecahkan pintu tandas.
Menurut Yahya, kedua-dua beranak tersebut bagaimanapun di sahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut beliau, sebelum itu, remaja berusia 18 tahun tersebut meminta kebenaran ibunya menggunakan bilir air di dalam bilik utama berkenaan kerana sakit perut.
“Curiga dengan perbuatan anak kelima dari enam beradik tersebut yang berada di dalam bilik air agak lama, ibunya mula memanggil remaja berkenaan kira-kira 30 minit kemudian. Bagaimanapun dia menjawab mengalami sembelit sebelum ibunya memanggil sekali lagi pada pukul 10 pagi dan mangsa membalas masih belum siap.
“Sehinggalah kira-kira pukul 2 petang apabila pertanyaan ibu dan adiknya tidak mendapat sebarang reaksi daripada remaja tersebut,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










