Tabayun atau ‘tibaiyun’? - Utusan Malaysia

Tabayun atau ‘tibaiyun’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUTAAN mata penonton termasuk dalam stadium dan yang menyaksikan siaran langsung di televisyen fokus kepada tengah gelanggang. Perlawanan akhir badminton dalam Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala lumpur itu agak tegang.

Pemain A dan B saling mengejar mata terutama dalam set akhir. Kini mata terikat 15 sama setelah pelbagai pukulan pancung, smash, permainan net mengelirukan, pukulan rally mendebarkan dipersembahkan oleh kedua-dua pemain dalam aksi bertaraf dunia itu.

Dalam keadaan hangat itu, secara tiba-tiba pemain A mengangkat bola tanggung, tanpa menunggu lama pemain B terus melompat tinggi mengayunkan raketnya untuk mematikan bulu tangkis.

Adakah pemain B bersalah kerana mengambil peluang terbaik itu untuk memungut mata penting? Perlukah dia terlebih dahulu tabayun dengan pemain A? Bolehkah bulu tangkis itu dipukul kencang? Kenapa bulu tangkis itu diangkat tanggung? Itulah seni permainan badminton, terus rebut peluang jika terhidang luas di depan raket ‘makanan lazat’.

Pihak A walaupun memberikan bola tanggung dia sebenar­nya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya, biasalah adat permainan terkadang ada juga tersilap langkah dan percaturan.

Namun jika selepas itu pemain A berturut-turut mengangkat bola tanggung hingga ke mata penamat meskipun mengetahui bakal kena smash, pasti ada sesuatu yang tidak kena, sama ada pemain itu sendiri bermasalah atau pasukan kejurulatihannya telah memberikan panduan songsang dan sesat.

Selepas perlawanan jika ada penyokong tidak berpuas hati dan tibai pemain itu (boleh juga disebut tibaiyun), ja­nganlah marah kerana mereka sebenarnya berhak mendapatkan ­kualiti permainan terbaik setelah menghabiskan duit untuk membeli tiket. Atau sekurang-kurangnya penonton dipersembahkan dengan permainan yang memiliki daya juang tinggi. Tewas pun tak apa asalkan melawan, puas hati kerana kalah bermaruah.

Seni permainan mana-mana jenis sukan boleh juga diterjemahkan kepada seni permainan politik. Hanya mereka yang lasak, tahan dimaki, sanggup menipu sesekali, kemudiannya apabila kantoi enggan pula mengaku kesilapan sebaliknya menyalahkan pihak lain; sahaja yang layak bermain permainan politik.

Permainan politik akan menjadi lebih menarik apabila ditakdirkan mendapat kuasa, sekali gus amat malang pula bagi pihak lawan yang terlepas kelebihan itu yang lazimnya berpunca daripada sikap ambil mudah dan tidak menatang de­ngan sebaik mungkin amanah diperoleh sebelum ini.

Terkadang penulis termenung sambil ketawa sendirian apabila melihat gelagat pemain-pemain politik. Banyak kes apabila terkena pada batang hidung sendiri, bersungguh-sungguh mengingatkan setiap lapisan masyarakat agar mengamalkan konsep tabayun, namun apabila pihak lawan terkena, maka secara berjemaah pula pakat tibaiyun!. Pi mai pi mai tang tu, 2 x 5, 5 x 2!

Walau apa pun alasannya konsep tabayun perlu dinobatkan sebagai keutamaan, meskipun ia kadangkala memihak kepada diri sendiri atau ‘mencederakan’ pihak lawan. Jika tersilap tibaiyun ia bakal menjadi fitnah dan tidak pasal-pasal menjadi kayu api neraka jika tidak sempat meminta maaf. Dosa dengan makhluk jadi tergantung selagi mangsa tidak memaafkannya.

Bagaimanapun terdapat tibaiyun yang dibolehkan apabila dilakukan dalam gelanggang yang sah. Ia seperti apa yang dilakukan oleh juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov terhadap bekas seteru utamanya Connor McGregor di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 7 Oktober lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN