Syarikat jual doh roti canai, capati guna logo halal tanpa kebenaran Jakim diserbu - Utusan Malaysia

Syarikat jual doh roti canai, capati guna logo halal tanpa kebenaran Jakim diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang pengusaha syarikat menjual doh roti canai dan capati di Setia Alam dikesan menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kebenaran bagi meraih keuntungan sejak sembilan bulan lalu.

Kegiatan licik pengusaha berusia 30-an itu terbongkar selepas sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan serbuan di syarikat itu, pukul 10 pagi Isnin lalu.

Serbuan dilakukan oleh empat pegawai KPDNKK bersama enam pegawai daripada Bahagian Pengurusna Halal JAIS berakhir kira-kira tiga jam kemudian.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas JAIS menerima aduan orang ramai berhubung produk doh tepung roti canai dan capati yang dikeluarkan syarikat berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pengusaha berkenaan telah menggunakan logo halal pada kotak pembungkusan produk makanan yang dikeluarkan sedangkan syarikat berkenaan bukan pemegang sijil halal.

“Semasa serbuan, kita mendapati lapan pekerja warga asing berada di dalam premis itu dan menemui sebanyak 1,772 kotak kosong pembungkusan doh roti canai dan capati yang tertera logo halal JAKIM.

“Kita turut merampas 60 kotak berisi 6,000 doh roti canai dan 12 kotak berisi 360 doh capati yang semuanya dianggarkan bernilai RM3,063,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali.

Mengulas lanjut, Azman berkata, semua barangan itu dirampas mengikut Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan 2011 (Perakuan & Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Kita turut merekodkan keterangan lelaki yang juga pengusaha syarikat itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Azman berkata, doh roti canai dijual dengan harga RM20 sekotak yang mempunyai 100 doh, manakala RM10 bagi capati (30 doh) dan kesemua produk syarikat itu dipasarkan di Selangor.

Sementara itu, Wan Najmiah berkata, pihaknya telah mengesan sebanyak 16 syarikat yang melakukan kesalahan penggunaan logo halal tidak sah di negeri ini sejak 2015.

“Lazimnya, selepas menerima aduan dan maklumat awam, kita akan memeriksa status logo digunakan syarikat itu sama ada dimohon daripada Jakim atau sebaliknya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN