Syarikat besar perlu sumbang tabung angkatan tentera - Utusan Malaysia

Syarikat besar perlu sumbang tabung angkatan tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 3 Okt. – Syarikat besar di negara ini perlu turut sama menyumbang kepada tabung kebajikan angkatan tentera bagi menghargai nikmat keamanan negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, sebahagian besar nikmat keamanan itu disumbangkan oleh pengorbanan dan perjuangan anggota tentera.

Katanya, tidak mungkin perniagaan yang diusahakan mendapat pulangan dan keuntungan jika ia dilakukan di negara yang kacau bilau.

“Namun, sehingga kini, sebahagian besar sumbangan datang daripada syarikat-syarikat yang mendapat kontrak daripada Kementerian Pertahanan dan orang ramai.

“Sokongan mesti datang dari semua rakyat termasuk syarikat besar,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian anugerah Pingat Jasa Malaysia, di sini hari ini.

Seramai 95 veteran tentera dari Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menerima anugerah tersebut.

Turut menerima anugerah itu ialah tiga balu dan dua waris veteran tentera.

Yang turut hadir, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah.

Ketika berucap pada majlis itu, Mohamad berkata, nasib veteran dan anggota tentera akan mendapat pembelaan lebih baik selepas Anwar menjadi Perdana Menteri kelak.

Katanya, calon Ahli Parlimen Port Dickson itu mendengar setiap keluhan yang disuarakan oleh mereka.

“Kita tidak janji tempayan emas atau hati nyamuk tujuh talam tetapi akan usahakan yang terbaik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN