SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pemergian Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari sebagai satu kehilangan besar.
Sultan Sharafuddin bertitah, Allahyarham Hassan pernah menjadi guru agama baginda dan amat rapat dengan Almarhum paduka Ayahanda dan Nenda baginda.
“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari yang telah kembali ke Rahmatullah pada 6 Oktober 2018.
“Semoga roh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke majlis pengebumian tokoh agama itu yang selamat dikebumikan pada pukul 9.40 pagi di Makam Diraja Shah Alam.
Hadir sama pada majlis pengebumian itu, Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.
Jenazah Allahyarham Hassan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada pukul 9 pagi dengan diimamkan anak Allahyarham, Prof. Madya Dr. Abd Rauf Hassan.
Allahyarham meninggal dunia pada pukul 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap kanser limfoma tahap empat. – K! ONLINE











