Sukan air produk pelancongan Aceh Tengah - Utusan Malaysia

Sukan air produk pelancongan Aceh Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kabupaten Aceh Tengah merupakan antara lokasi pelancongan popular di Pulau Sumatera, Indonesia berikutan lokasinya terletak berdekatan Gunung Bukit Barisan.


Selain menawarkan pemandangan alam semula jadi yang mempesonakan seperti kawasan bukit bakau, Kabupaten Aceh Tengah juga menjadi lokasi tumpuan aktiviti air seperti di Lukup Badak.


Kawasan pelancongan itu yang terletak di Kecamatan Pegasing bukan sahaja sering dikunjungi warga tempatan malah pelancong antarabangsa turut tertarik dengan keindahan kawasan berkenaan.


Individu yang menggemari aktiviti berkonsepkan air juga boleh menguji kekuatan adrenalin mereka dengan menyertai aktiviti berakit di arus deras yang terletak di Sungai Peusangan.
Menariknya, pelancong tidak perlu memandu selama berjam-jam seperti lokasi sungai yang lain berikutan kawasan berkenaan terletak hanya tujuh kilometer (km) dari Kota Takengon.


Aktiviti rekreasi di kawasan jeram itu bukan sahaja bakal menguji kekuatan fizikal dan mental pelancong, malah turut menawarkan pemandangan memukau berikutan terletak berhampiran Dataran Tinggi Gayo.
Selain itu, Sungai Peusangan juga merupakan lokasi utama penganjuran sukan berakit ekstrem pada tahun lalu selain menjadi venue acara Gayo Aceh Mountain International Festival 2018 (GAMIFest2018).

Sukan lasak

Menurut wakil Ketua Pembinaan Kesejahteraan Keluarga (PKK) Aceh, Dyah Erti Idawati, keindahan sungai yang terdapat di Lukup Badak disifatkan begitu sesuai untuk dijadikan lokasi pelancongan keluarga.
“Kami berharap kawasan tersebut akan menjadi produk pelancongan baharu berikutan jaraknya yang terletak berhampiran bandar selain kekayaan alam semula jadi yang terdapat di sana.


“Selain itu, pelancongan berkonsepkan sukan lasak seperti berakit juga dilihat sesuai dikembangkan memandangkan sungai berkenaan mempunyai aliran yang deras serta kurang berbatu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.


Dyah menambah, dia turut mengambil kesempatan merasai pengalaman berakit sepanjang 4.5km di Lukup Badak sekali gus menyifatkan aktiviti tersebut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.


“Kawasan itu mempunyai potensi yang begitu besar, kita perlu bangunkannya sebaik mungkin agar menjadi antara lokasi riadah paling terbaik di Kabupaten Acheh Tengah,” jelasnya.


Dalam pada itu, Ketua Penyelia Festival Rakit Takengon, Khalisuddin memberitahu, pihaknya sentiasa menjalankan pelbagai usaha bagi mempromosikan produk pelancongan di Lukup Badak agar dikenali setiap pelancong yang mengunjungi Kabupaten Acheh Tengah.


“Lukup Badak baru sahaja diangkat sebagai venue sukan lasak pada tahun lalu dan atas sebab itu, kami mahu berterusan memperkenalkan kawasan tersebut kepada masyarakat dunia,” ujarnya.

Festival

Festival Rakit Takengon merupakan antara acara yang terdapat di GAMIFest 2018 selain daripada program lain seperti pertandingan foto, persembahan tarian tradisional, pertandingan memasak serta perlumbaan perahu tradisional.


Selain itu, antara acara sampingan lain yang turut dianjurkan sempena festival berkenaan ialah pameran kopi, merentas desa, pameran kuda, sukan berbasikal serta latihan berkayak.


Khalisuddin memberitahu, kebanyakan peserta yang menyertai festival itu berasal dari kabupaten yang terdapat di Acheh seperti Lhokseumawe namun ada juga yang datang dari luar termasuklah Jakarta serta Riau.


Bagaimanapun, bagi pelancong yang belum pernah mencuba sukan air, mereka boleh menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong bertauliah bagi memberi tunjuk ajar.
“Sebagai permulaan, mereka boleh mencuba sukan air pada tahap satu terlebih dahulu sebelum diikuti fasa yang seterusnya. Jeram di Takengon mempunyai empat tahap kesukaran,” ujarnya.


Pakej harga yang ditawarkan kepada orang ramai yang berminat melakukan aktiviti sukan rakit bermula pada kadar Rp60,000 (RM16) hingga Rp150,00 (RM41) seorang.
Dalam pada itu, Khalisuddin turut mencari potensi baharu produk pelancongan di kawasan berkenaan untuk dibangunkan seperti sukan meluncur udara.


“Selain itu, kawasan peranginan berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain seperti peralatan sukan lasak untuk kegunaan pelancong selain tapak perkhemahan serta flying fox.
“Impian kami ialah mahu membangunkan kawasan ini sebagai wilayah pelancongan seterusnya berupaya menyumbangkan kemajuan ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN