PASIR GUDANG 18 Okt. – Masyarakat kita sudah sinonim dengan aktiviti makan di luar. Amalan ini sudah menjadi kebiasaan majoriti kita sama ada bersama rakan, keluarga mahupun seorang diri.
Buat mereka tercari-cari lokasi makan baharu, boleh berkunjung ke D’Mawar Cafe di sini yang terletak seberang jalan Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).
Kafe yang dibuka dari awal pagi hingga tengah malam setiap hari kecuali pada Hari Raya Aidilfitri itu menempatkan kira-kira 20 kedai makan berbeza yang pasti akan memenuhi cita rasa pengunjung yang hadir.
Sebaik melangkah masuk ke dalam D’Mawar Cafe, pengunjung pasti merasakan kelainan kafe itu yang mana berkonsepkan moden dengan struktur bangunan dan kedainya menggunakan kontena manakala meja dan kerusi ala-ala taman.
Pilihan menunya pula pelbagai membabitkan makanan tradisional tempatan seperti asam pedas, sate, kacang pool dan martabak termasuk masakan antarabangsa seperti ayam penyet, nasi Arab dan pelbagai menu barat.
Suasana santai pasti memberi kelainan, malahan kafe ini juga mempunyai deretan kedai di tingkat dua, sesuai bagi mereka yang mahukan lebih privasi ketika menikmati hidangan.
Lokasi sinki membasuh tangan juga menarik dan pengunjung tidak perlu risau kerana kemudahan itu tersedia di lokasi strategik.
Bukan sahaja kedai makan, D’Mawar Cafe juga menempatkan beberapa butik pakaian, kedai gunting rambut, kedai membaiki telefon serta sebuah kedai runcit bagi kemudahan pengunjung.
Mungkin senario atau persekitaran ini nampak suasana biasa, namun sebenarnya suatu kelainan dan mempunyai keunikan terutama bagi warga kota.
Bagi memastikan keselesaan pengunjung, kafe ini menyediakan kawasan letak kereta yang luas, berserta tandas awam dan surau yang mana kesemuanya percuma.
Kepada mereka yang mahu menjimatkan masa dengan mencuci kenderaan sewaktu mereka menikmati juadah juga boleh berbuat demikian kerana di sini terdapat perkhidmatan mencuci kenderaan.
Jadi, jika anda berkelapangan dan mahu mencuba sesuatu baharu, boleh berkunjung ke D’Mawar Cafe.
Jika anda memandu dari Bandaraya Johor Bahru, jaraknya hanya kira-kira 20 kilometer dan pastinya kunjungan anda ke sini tidak menghampakan.










