CYBERJAYA – Seramai 3.6 juta pemegang akaun di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i/SSPN-i Plus) dicatatkan sehingga 31 Ogos lepas dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM3.8 bilion.
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd. Khalid berkata, angka tersebut terus meningkat setiap tahun berikutan kesedaran ibu bapa dan masyarakat membuat simpanan untuk pendidikan anak-anak.
“Bukan mudah untuk menggalakkan ibu bapa menabung pendidikan anak-anak.
“Jumlah tersebut sebenarnya masih kecil berbanding 30 juta jumlah rakyat Malaysia. Malah daripada jumlah itu, hanya seramai 10 juta sahaja rakyat negara ini yang menabung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen #BasDidiSSPN di sini hari ini.
Kempen #BasDidiSSPN diadakan sempena Minggu Menabung SSPN 2018 Peringkat Nasional yang akan bermula pada 5 hingga 7 Oktober ini bertempat di pusat membeli-belah One Utama.
Kemuncak Minggu Menabung ialah pada 6 Oktober ini yang akan diadakan di seluruh Malaysia dan kita menyasarkan sebanyak 350 ribu akaun akan dibuka pada minggu itu.
Kempen #BasDidiSSPN melibatkan lima buah bas Rapid KL yang dihiasi gambar animasi ‘Didi & Friends’ dan maskot PTPTN akan beroperasi selama tiga bulan bermula hari ini sehingga 3 Januari tahun depan. – Bernama










