KUALA NERUS – Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Sekolah Terengganu akan menganjurkan Karnival Kejohanan Sepak Takraw Piala Pengetua SSMT 2018 pada 26 dan 27 Oktober ini.
Pengetua SSMT, Huszaidi Hussin berkata, kejohanan yang masuk tahun kedua penganjurannya itu bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan takraw.
“Pertandingan dijalankan mengikut format liga yang melibatkan dua kategori iaitu bawah 11 dan 16 tahun.
“Bagi kategori bawah 16 tahun, pertandingan dibuka kepada semua peserta di seluruh negara manakala kategori bawah 11 tahun pula hanya melibatkan peserta dari negeri Terengganu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima tajaan daripada Syarikat Gajah Emas sempena Karnival Kejohanan Sepak Takraw Piala Pengetua SSMT kali kedua di SSMT, Gong Badak hari ini.
Turut hadir, wakil Syarikat Gajah Emas, Ramlee Salleh dan Presiden Sepak Takraw Terengganu, Mohd. Shapian Ali.
Jelas Huszaidi, syarat pendaftaran bagi kedua-dua kategori regu tersebut perlu melibatkan seorang pengurus serta jurulatih dan empat pemain.
“Kita menyediakan hadiah berbentuk piala, wang tunai serta medal kepada juara liga sehingga tempat keempat.
“Kejohanan selama dua hari itu akan dimeriahkan lagi dengan penganjuran aktiviti sampingan buat para pengunjung seperti pertandingan mewarna, sepak takraw bulatan, gubahan tuala serta cabutan bertuah,” ujarnya. – K! ONLINE










