KUALA LUMPUR 2 Okt. – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (gambar)dijangka hadir untuk memberi keterangan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya esok.
Difahamkan, notis untuk Rosmah hadir ke pejabat SPRM dikeluarkan semalam dan ini mungkin kali terakhir dia dipanggil untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, Rosmah mungkin didakwa di mahkamah lusa melibatkan pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.
“Jika Rosmah ditahan esok, beliau mungkin didakwa pada hari Khamis bersama kes suaminya, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini,” katanya di sini, hari ini.
Rosmah pada 5 Jun lalu dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan berhubung skandal SRC International Sdn. Bhd.
Kemudian pada 26 September lalu, Rosmah dipanggil sekali lagi ke SPRM untuk memberi keterangan selama hampir 13 jam.











