PORT DICKSON – Calon Bebas, Kan Chee Yuen diberi peringatan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak mengagihkan 1,000 batang pen yang dibelinya petang kelmarin kepada pengundi di sini.
Chee Yuen berkata, SPR mengeluarkan peringatan itu kepadanya semalam menerusi emel selepas berita mengenai beliau membeli pen tersebut diketahui pihak suruhanjaya berkenaan.
“Saya menerima emel daripada SPR yang mengingatkan pemberian hadiah tidak dibenarkan. Saya minta maaf kerana saya fikir ia dibolehkan dalam pilihan raya.
“Oleh itu saya batalkan rancangan untuk mengagihkan pen itu kepada orang ramai di Port Dickson. Bagaimanapun, saya akan terus membeli pen di Port Dickson dan mendermanya kepada sekolah-sekolah yang memerlukan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.










