JOHOR BAHRU 13 Okt. – Skuad remaja negara menutup tirai kejohanan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2018 ditempat kelima setelah menumpaskan New Zealand 6-3 dalam penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Taman Daya, di sini sebentar tadi.
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira pasukan apabila mencipta hatrik pada minit pertama, 12, 36 dan 60.
Pukulan sudut penalti yang diperoleh Malaysia pada minit ke-23 berjaya disempurnakan Muhammad Fahmi Khalid sebelum Muhammad Hafizhuddin Zaidi menjaringkan gol keempat pada minit ke-29.
New Zealand yang enggan menyerah kalah terlalu awal terus menggasak kubu pertahanan Malaysia dan berjaya memperoleh gol sulung pasukan menerusi Maks Smith pada minit terakhir suku kedua perlawanan.
Masuk suku ketiga perlawanan, kedua-dua pasukan yang menggandakan asakan berjaya memperoleh satu gol menerusi Kalyan Jeram pada minit ke-33 dan Muhammad Azrai Aizad selang tiga minit kemudian.
New Zealand terus mendapat suntikan semangat sebaik masuk suku keempat perlawanan apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-46 menerusi Tim Neild.
Anak buah Bryce Collins yang cuba menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan termasuk menerusi pukulan sudut penalti, namun jaringan Muhammad Azrai Aizad pada minit terakhir perlawanan menggagalkan hasrat tersebut.
Kedudukan 6-3 kekal hingga tamat perlawanan.
Sementara itu, Australia akan bertemu Jepun bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pukul 6 petang ini, manakala perlawanan akhir antara Great Britain dan India akan berlangsung pukul 8 malam ini. – UTUSAN ONLINE











