JOHOR BAHRU 16 Okt. – Satu sindiket pengedaran dadah dikepalai seorang wanita dengan kerjasama Ketua Kongsi Gelap Geng 36 berjaya ditumpaskan dalam enam serbuan di sekitar negeri ini bermula Jumaat hingga Ahad lalu.
Dalam serbuan ke atas sindiket raja dadah didalangi wanita berusia 34 tahun yang digelar ‘QueenPin’ itu, seramai 12 ahli sindiket tersebut turut ditahan dan dadah pelbagai jenis bernilai RM1 juta dirampas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, seorang ahli sindiket ditahan itu juga merupakan orang dikehendaki polis Indonesia kerana lari dariada tahanan penjara negara itu.
“Dalam enam serbuan bermula 8.30 malam hingga 10.30 malam itu pada 12 Oktober hingga 14 Oktober, sebanyak 16 kilogram dadah dipercayai syabu, heroin (6kg), ketamin (0.25kg), 97 biji pil ekstasi, 12 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1 juta berjaya dirampas.
“Polis turut menyita sembilan buah kenderaan termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha R1, wang tunai, pelbagai jenis jam tangan dan barang kemas turut dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










