KEMAMAN – Satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif di daerah ini berjaya dilumpuhkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang, Kemasik dekat sini hari ini.
Serbuan pada pukul 12.30 tengah malam tersebut berjaya merampas pelbagai barangan termasuk dadah jenis pil kuda dan heroin yang keseluruhan dianggarkan berjumlah RM155,000.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, serbuan di rumah terbabit berjaya menahan lima lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 29 tahun yang dipercayai anggota sindiket berkenaan.
“Pemeriksaan pada beg pinggang berwarna hitam dipakai seorang suspek berusia 19 tahun telah menjumpai dua botol yang mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis heroin dan 11 peket plastik yang setiap satunya berisi 10 biji pil berwarna merah dipercayai dadah jenis pil kuda.
“Sebanyak 50 botol mengandungi serbuk putih dipercayai heroin juga dijumpai dalam satu bungkusan plastik berwarna ungu di dalam sebuah bilik di dalam premis berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, pemeriksaan di atas siling sebuah bilik pula menemui 200 biji pil berwarna merah dipercayai pil kuda di dalam sebuah beg berwarna gelap. – K! ONLINE











