IPOH 18 Okt. – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan imej Presiden UMNO itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, Pakatan Harapan mahu membunuh imej Ahmad Zahid dengan memberikan gambaran buruk terhadap UMNO seterusnya membunuh parti itu.
Kata beliau, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan tindakan yang sama terhadap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Dr. Mahathir kini nampaknya masih berusaha keras supaya Ahmad Zahid juga dianggap jahat oleh masyarakat apabila cuba memburukkan imej pemimpin Islam itu kononnya Yayasan Akal Budi yang diasaskannya menerima dana dari 1MDB.
“Tindakan zalim Mahathir ini tidak lain hasil daripada kekecewaan beliau yang sebelum ini gagal memujuk Ahmad Zahid supaya membubarkan UMNO yang menjadi ancaman utama politik keluarga Dr. Mahathir, kroni dan PBBM.
“Kita percaya tindakan Mahathir ini bertujuan melenyapkan UMNO dan mendorong orang Melayu berpaut kepada PPBM dan menjadikan partinya itu sebagai satu-satunya parti Melayu terkuat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE










