ANTARA Datuk Seri M. Saravanan, 50, dan Tan Sri M. Ramasamy, 55, yang terpampang wajah kedua-duanya dalam ruangan ini, agaknya siapa pemenang jawatan Timbalan Presiden MIC Sabtu ini?
Jawatan Presiden bagi penggal 2018-2021 sudah pun dimenangi tanpa bertanding 14 Julai lalu oleh bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran.
Dan kali ini, pemilihan MIC berbeza daripada sebelumnya. Buat pertama kali, sesuai dengan rentak demokrasi baharu parti itu, pengundian dijalankan di 4,300 cawangan dalam seluruh 146 bahagian parti. Tidak lagi di Pusat.

Kali ini, seramai 27,800 perwakilan bakal mengundi berbanding sebelum ini, cuma 1,500.
Bertemu Saravanan sebelum beliau masuk ke sidang Dewan Rakyat kelmarin, banyak yang kami berdua perbualkan.
Saravanan yang tidak nampak gentar menghadapi pesaingnya lusa ini, lebih banyak bercerita mengenai usaha MIC untuk memulihkan sokongan masyarakat India kepada parti itu.
Blame Game?
Berterusan kalah dalam 2008 dan 2013, bersambung pula ke pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan cuma menang dua kerusi Parlimen (dari sembilan) dan tiga dari 18 kerusi Dewan Undangan Negeri, tetap membuatkan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu masih menaruh keyakinan tinggi MIC boleh mengembalikan kepercayaan kaum India.
Walaupun ada elemen blame game akan nasib menimpa MIC terutama punca parti itu gagal, Saravanan bagaimanapun mengakui kerajaan terdahulu telah memberi macam-macam peruntukan kepada masyarakat India.

“Tapi kita (Barisan Nasional) gagal melahirkan pemimpin masyarakat India. Segala peruntukan (untuk kaum India) diberi bukan melalui MIC, sebaliknya direct kepada mereka menerusi pemimpin setempat yang kemudian tubuhkan agensi di Jabatan Perdana Menteri. Jadi, MIC tidak ada perananlah.
“Selepas itu, ada beberapa pegawai India yang bersama BN bertindak lebih untuk memecahbelahkan masyarakat India. Malah, ada seorang itu berlagak seolah-olah dia menjadi wakil masyarakat India, semua masalah orang India perlu melalui dia dahulu, sebelum pergi ke BN. Malangnya, dia sendiri bukan India,” keluh Saravanan.
Empat menteri India
Saravanan mahu MIC yang memiliki keahlian 600,000 orang itu berusaha keras untuk kembali meyakinkan masyarakat India terhadap keupayaan parti itu memperjuangkan nasib mereka.
“Saya nampak ada empat menteri keturunan India dalam kerajaan hari ini. Tapi setakat ini selepas lima bulan berlalu, saya belum nampak lagi apa yang diusahakan untuk kaum India, harap mereka berusaha ke arah itu.
“Bagi MIC, ia parti yang terus berdaya tahan, memiliki sebuah universiti, sebuah institusi kewangan untuk beri pinjaman pendidikan setaraf PTPTN serta ada kolej vokasional sendiri, kita tengok nanti,” katanya lagi.
Di sebalik keyakinan tinggi MIC untuk kembali ke arus politik perdana, penganalisis politik, Datuk B. Anbumani ada pengamatan berbeza pula.
Katanya, mungkin ramai calon yang bertanding akan bercakap dan berhujah tentang slogan ‘perubahan’.
Persoalannya, tegas Anbumani, apakah mereka dapat memahami dan menyelami ‘definisi perubahan’ yang diperlukan oleh MIC dalam konteks politik masa kini? Malah suara sama begitu lantang sejak 2008 setelah BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen di mana MIC turut mengalami kekalahan teruk sehingga ramai pemimpin utama parti itu tersingkir dan tersungkur.
“Apakah langkah serta gerakan ‘pemulihan politik’ dilakukan oleh MIC sejak itu? Dalam tempoh 2008 sehingga sekarang, nilaikanlah sendiri prestasi anda? Dua Presiden sudah bertukar ganti dalam masa terdekat, selepas PRU-14, seorang lagi Presiden baharu telah dipilih.
“Apakah proses itu telah memperkukuh atau mengembalikan semula keyakinan masyarakat India terhadap parti itu?,” katanya.
Tambahnya, banyak persoalan belum terjawab. Kini, sudah muncul satu lagi pemilihan parti dalam fenomena ‘hilang kuasa’ setelah tembok besar BN runtuh. Malah ada rakan-rakan komponen sekelip mata keluar BN.
Wow factor
Dalam dilema yang cukup mencabar itu, soal Anbumani, apakah yang perlu dilakukan, digerakkan dan diterjemahkan oleh MIC untuk menjadi sebuah parti politik yang berwibawa? Itulah yang perlu difikirkan dengan lebih serius dan mendalam.
Kata beliau:
“Perubahan perlu bermula dari perwatakan dan karektorisme setiap pemimpin dalam parti. Jangan menipu diri sendiri sekadar untuk syok sendiri. Apalah ada pada jawatan dalam parti sekiranya anda gagal di pentas rakyat?
“Ingatlah, pemilihan parti perlu mendahulukan nilai kualiti yang dapat menjamin harapan, aspirasi rakyat. Jangan mendabik dada kononnya parti itu sudah pulih sepenuhnya kerana ramai ahli tampil untuk bertanding.
“Dalam era politik Malaysia Baharu ini, MIC amat memerlukan ramai pemimpin masa depan, khususnya dari generasi muda yang memiliki nilai kepimpinan yang mantap serta mempunyai budaya pemikiran politik yang cekap. Ramai orang muda masuk PKR dan DAP. MIC perlu ada Wow factor.”
Wah! Bisa sekali hujah Anbumani. Moga diambil iktibar oleh perwakilan lusa ini.
Pengundian untuk memilih timbalan presiden, tiga naib presiden (dari 10 calon), 23 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) serta 10 perwakilan di setiap negeri akan bermula dari pukul 4 petang hingga 7 malam.
Harap tidak ada yang baling kerusi.










