LONDON 19 Okt. – Bek kiri England, Luke Shaw percaya dia boleh menjadi pemangkin kepada tuah Manchester United selepas menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu, semalam.
Shaw, 23, berada dalam tahun terakhir perjanjian yang ditandatanganinya empat tahun lalu selepas menyertai Red Devils dari Southampton sebagai pemain remaja termahal di dunia pada ketika itu.
Bagaimanapun, sepanjang bergelar pemain di Old Trafford dia terpaksa berdepan kecederaan kaki yang mengerikan pada 2015 sehingga memaksanya untuk menimbangkan keputusan bersara awal dan pemain itu turut pernah dikritik secara terbuka oleh pengurus United, Jose Mourinho.
“Sepanjang empat tahun ini, ia begitu pelik buat saya. Ada naik dan turun. Bermula daripada tandatangan kontrak hari ini (semalam) saya hanya akan melihat masa depan dan berusaha sedaya upaya membantu pasukan serta sekali lagi melakar kejayaan.
“Jika anda lihat kepada situasi saya pada tahun lalu, anda pasti berasakan apa yang berlaku sekarang sesuatu yang mustahil. Tetapi saya telah bekerja keras, saya mahu berada di sini dan memastikan masa depan saya di sini ialah untuk membantu kelab,” kata Shaw.
Shaw memulakan aksinya musim ini dengan cemerlang, walaupun anak-anak buah Mourinho terpaksa berdepan tempoh yang memeritkan sebagai sebuah pasukan.
United kini ketinggalan di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris Chelsea, Liverpool dan Manchester City menerusi tujuh mata selepas lapan perlawanan dengan spekulasi sejauh mana Mourinho mampu mempertahankan jawatannya.
“Saya rasa hanya masa yang mampu menentukan kejayaan akan datang kembali. Saya dapat melihat pasukan yang kami ada di sini. Kami mempunyai kumpulan pemain yang hebat dan bakat yang kami miliki sangat digeruni, ramai peain muda begitu dahagakan trofi,” tambah Shaw. – AFP










