'Seri Mahkota' istimewa untuk Sultan Kedah - Utusan Malaysia

‘Seri Mahkota’ istimewa untuk Sultan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah akan mengenakan tengkolok gubahan baharu yang digelar ‘Seri Mahkota’ pada hari pertabalan baginda sebagai Sultan Kedah yang ke-29 pada 22 Oktober ini.

‘Seri Mahkota’ adalah tengkolok yang diolah khusus daripada gaya rupa bentuk tengkolok lama almarhum ayahanda baginda Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-27.

Penyolek tengkolok Mohd. Zairul Fairuz Zakaria, 40, anak jati Kedah dari Titi Haji Idris, Pendang, mengakui bahawa tugasan menyiapkan tengkolok yang merupakan pelengkap kepada persalinan diraja itu bukan tugas mudah.

Beliau yang mempunyai kira-kira 12 tahun pengalaman dalam seni mengikat atau menyolek tengkolok berkata, penting untuk menghasilkan tengkolok yang bukan sahaja bersesuaian dengan bentuk muka malah perwatakan serta peribadi si pemakai.

“Seri Mahkota adalah olahan daripada tengkolok lama Sultan Kedah (Almarhum Sultan Badlishah) disolek sesuai dengan bentuk wajah Tuanku Sultan Kedah agar tampil lebih kemas dan segak,” katanya kepada Bernama.

Mohd. Zairul juga pernah menghasilkan destar ‘Dendam Tak Sudah’ untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Berkongsi maklumat, beliau menjelaskan bahawa destar ‘Dendam Tak Sudah’ berasal dari Negeri Sembilan dan dipakai oleh beberapa sultan Tanah Melayu sebagai Mahkota Raja, selain sultan yang menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Malah destar ‘Dendam Tak Sudah’ juga pernah dipakai oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sewaktu baginda ditabal 59 tahun lalu sebagai Sultan Kedah ke-28.

Menyambung kisah menyolek tengkolok ‘Seri Mahkota’, Mohd Zairul yang menetap di Kuala Lumpur berkata beliau menghabiskan masa selama lima hari di Gunung Jerai di Yan, terletak kira-kira 42 kilometer dari Alor Setar, untuk mencari ilham.

“Sambil mencari ilham, saya sentiasa berdoa kepada Allah agar semuanya lancar. Lima hari tinggal di gunung yang tenang dan harmoni, saya berjaya menyiapkan tengkolok itu dengan penuh tertib,” jelas pemilik syarikat Kazanah Warisan Al Fairuzi itu. Produk utama syarikatnya adalah cenderahati berasaskan songket yang disolek menjadi tengkolok khusus untuk pelbagai majlis. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN