Seorang lagi suspek pukul pekerja stesen minyak direman tiga hari - Utusan Malaysia

Seorang lagi suspek pukul pekerja stesen minyak direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH – Seorang lelaki dipercayai salah seorang daripada suspek yang memukul seorang pekerja sebuah stesen minyak di Sungkai pada 6 Oktober lalu sehingga kes itu menjadi tular di laman sosial ditahan reman selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Perintah tahanan reman bermula hari ini terhadap suspek yang berusia 25 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Harith Mohd.Mazlan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini pada pukul 4.45 petang semalam ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah pada pukul 8.40 pagi dengan menaiki trak polis dan diiringi beberapa anggota dari IPD Tapah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, seorang lagi suspek yang berusia 40 tahun ditahan di rumahnya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam kelmarin.

Jelasnya, lelaki itu telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang pekerja sebuah stesen minyak di sini dipukul sekumpulan lelaki akibat salah faham ketika mengisi minyak.

Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu turut menjadi tular apabila dua rakaman te­levisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 42 saat dan satu minit 27 saat tersebar di media sosial.

Berdasarkan rakaman CCTV itu, mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki dipercayai penunggang motosikal dari kaunter stesen minyak di dalam premis sebelum dipukul selain dibaling objek. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN