PUTRAJAYA – Permit bagi semua 28 buah kenderaan termasuk lori yang dimiliki oleh Usaha Maju Trading Sdn. Bhd. digantung serta-merta selama dua minggu bagi membolehkan siasatan secara terperinci dapat dijalankan ekoran kemalangan maut di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora Sabtu lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kesemua kenderaan tersebut telah diarahkan disita di depoh milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membolehkan siasatan dan audit menyeluruh dijalankan.
“Dalam tempoh ini, jika terdapat perkara yang tidak betul kita dapati dalam siasatan maka kita akan keluarkan surat tunjuk sebab kepada pihak syarikat dan jika pihak syarikat didapati melakukan kesalahan maka kita akan batalkan permit pengendali,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.47 pagi itu, lima individu termasuk seorang bayi ditemui rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori yang membawa muatan bijih besi di Kilometer 255.3, lebuh tersebut.
Kelima-lima mangsa dipercayai sekeluarga, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam nahas tersebut.
Jarak di antara lokasi kejadian dengan Terowong Menora kira-kira sembilan kilometer.
Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dan kereta yang dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan menuju ke arah utara.
Difahamkan, lori jenis Volvo tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang.
Lori tersebut dipercayai hilang kawalan dan telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan lebuh raya menyebabkan kenderaan berat itu menghimpit dan bergesel dengan beberapa buah kenderaan lain sebelum mengheret kereta mangsa yang berada di lorong kanan.
Kemalangan itu mengakibatkan kereta berkenaan terhimpit di antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan lori sebelum kereta tersebut terbakar.
Kelima-lima mangsa disahkan meninggal dunia akibat rentung di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
Sehingga kini identiti kesemua mangsa masih belum dapat dikenalpasti. – K! ONLINE








