KUALA LUMPUR 16 Okt. – Pengguna media sosial dinasihatkan supaya menyemak fakta apabila menerima mesej berkenaan status halal sesuatu produk sebelum menularkannya tanpa usul periksa.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Bukhari Md. Akhir berkata, masyarakat seharusnya sedar akibat penularan mesej palsu tentang status halal sesuatu produk, akan memberi kesan kepada industri halal secara keseluruhannya.
“Sepatutnya pengguna perlu semak terlebih dahulu kerana ia akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada syarikat tersebut, malah industri (halal) turut menerima kesan.
“Yang menyedihkan, syarikat yang tidak terlibat ditularkan dengan kandungan yang tidak sepatutnya. Pengguna perlu menyemak fakta dan tidak menyebarkan mesej tular tanpa usul periksa,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Yakini Halal Malaysia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, hari ini.
Seminar anjuran Pusat Bahasa dan Pengajian Umum (PBPU) UPSI itu diadakan untuk memberi kesedaran dan gambaran jelas mengenai peranan Jakim dan isu halal yang tular dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir dalam seminar tersebut, Pengarah PBPU UPSI, M. Sasigaran dan Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengesahan Halal Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd. Nasir Sulaiman. – UTUSAN ONLINE










