SELEPAS episod pendedahan berani mati penyanyi Aishah mendakwa barang kemas berupa rantai berlian yang diterima sebagai hadiah tambahan ketika menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) adalah palsu, kontroversi berkenaan tidak terhenti di situ sahaja.
Seiring kehangatan pembukaan tirai kelima program berkenaan pada minggu lalu, pelantun lagu Janji Manismu itu sekali lagi lantang bersuara menegakkan haknya yang belum dilangsaikan.
Terbaharu, Aishah melalui peguamnya telah mengemukakan surat tuntutan kepada penaja utama GV4, usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) agar membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung rantai berlian palsu yang dihadiahkan kepadanya.
Malah, pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin, 53, sedikit pun tidak gentar sekiranya tindakan tersebut bakal menjejaskan karier seninya yang baru hendak kembali menyinar.
Ikuti temu bual bersama Aishah usai sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini. Juara GV4 itu tidak mahu rakan artis lain menerima nasib yang sama sepertinya.
KOSMO!: Boleh Aishah kongsi tentang tuntutan sivil kepada Datuk Seri Vida?
Aishah: Seperti diketahui umum, rantai berlian yang dikatakan bernilai RM80,000 tajaan DSV sebenarnya rantai berlian palsu. Jadi pertemuan hari ini adalah untuk menuntut DSV membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saya atas representasi salah yang telah dibuat dan dihebohkan berkenaan rantai tersebut.
Saya juga mahukan seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti yang dihebohkan beliau sebelum ini. Saya memberi masa selama seminggu bermula Jumaat lalu untuk beliau menjawab dan mematuhi tuntutan berkenaan. Jika tidak, saya akan memanjangkan perkara ini ke mahkamah.
Atas tujuan apa sebenarnya anda mengambil tindakan sebegitu?
Sebenarnya saya terkejut dan tidak sangka orang sekarang boleh buat begini.
Sebagai penaja yang begitu dikenali ramai, beliau berani buat perkara sebegini dan kemudian mengambil sikap sambil lewa.
Begitu pun, saya tidak akan membiarkan perkara ini begitu sahaja kerana tidak mustahil ia akan berlaku lagi jika tiada siapa berani bersuara kerana takut akan digam oleh mana-mana stesen televisyen. Tambahan, saya sudah membawa rantai itu ke pusat ujian batu berlian dan ternyata ia palsu.
Adakah kes berkenaan memberi kesan dalam kehidupan peribadi anda?
Ya. Pada awalnya saya sangat tertekan kerana terdapat kata-kata sumbang menuduh saya sengaja membuka aib. Bagi saya, jika tidak ditipu sebegini, sebenarnya tiada aib yang akan dibuka. Malah ada juga melemparkan tuduhan saya tidak tahu bersyukur.
Hal yang sama mungkin akan dilakukan orang lain. Misalnya dijanjikan wang bonus tetapi duit itu sebenarnya palsu. Ikutkan, saya juga malas mahu memanjangkan hal ini, malangnya kami tiada persatuan pekerja. Jadi, kami perlu bergerak sendiri melalui peguam. Kita perlu ubah, tidak boleh gunakan nama artis untuk melariskan produk mereka.
Bagaimana pula dengan kerjaya seni, adakah kes berkenan menjejaskan mata pencarian anda?
Saya rasa apabila orang sudah benci selamanya akan tetap benci. Bagaimanapun, saya yakin ada peminat faham dengan perjuangan saya ini.
Saya yakin rezeki Allah yang tentukan. Dahulu saya pernah digam sehingga tidak muncul di kaca televisyen selama bertahun-tahun. Alhamdulillah saya masih di sini.
Sudah 31 tahun saya berada dalam industri sebagai penyanyi, naik turun itu biasa tetapi ia tetap perlu diharungi. Bagi saya, bila diperjuangkan hal ini, saya boleh tidur lena pada waktu malam. Kerana saya telah buat apa yang patut dilakukan.
Bagaimana pula dengan pelawaan Datuk Alif Syukri untuk anda dan DSV ke konsert minggu kedua GV5 yang bertujuan untuk memulihkan ketegangan antara kalian?
Saya melihat tindakan Alif Syukri seolah-olah memperlekehkan dan tidak mengambil kes ini sebagai isu berat. Mungkin RM80,000 itu bukan nilai besar untuk dirinya, tetapi ia merupakan periuk nasi kami. Adakah logik, pentas untuk konsert dijadikan tempat penyelesaian masalah?
Berapa durasi penyiaran yang pihak produksi mahu berikan kepada kami? Saya rasa ia memerlukan masa yang panjang untuk selesai.
Bagaimana pula dengan kes hadiah tanah lot banglo yang anda pertikaikan dalam Instagram?
Sebenarnya, ketika kemenangan tanah yang dijadikan hadiah itu masih belum ditentukan lokasinya.
Pihak penaja juga menjanjikan sebidang tanah lot banglo tetapi mengikut saranan juruukur, tanah berkenaan tidak mencapai keluasan minimum dalam piawaian pejabat tanah untuk pembinaan banglo. Perkara lanjut tentang hal ini saya akan kongsikan pada sidang akhbar akan datang.
Melihat kejadian sebegini, adakah anda trauma untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian lagi?
Tidak kerana saya tidak boleh menganggap semua penaja bersikap sebegitu. Sejujurnya, saya gembira dengan pengalaman sepanjang berada dalam GV, cuma apabila terjadi hal penipuan seperti ini saya tidak boleh diamkan diri.











