‘Satu kepuasan dapat jaring gol’ - Utusan Malaysia

‘Satu kepuasan dapat jaring gol’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYERANG skuad hoki negara, Faizal Saari belum berpuas hati de­ngan sentuhan penyudahnya meskipun dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Muscat, Oman dengan ke­seluruhan lapan gol sepanjang kejohanan itu.

Faizal, 27, berjaya menja­ringkan empat gol padang, tiga pukulan sudut penalti dan satu pukulan penalti daripada tujuh perlawanan berjaya membantu Malaysian Tigers meraih tempat ketiga pada kejohanan edisi kelima itu yang berakhir kelmarin.

‘Mesin gol’ skuad negara itu mahu memastikan sentuhan akhirnya lebih tajam sebelum menghadapi ujian sebenar tahun ini iaitu Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 28 November hingga 18 Disember depan.

“Saya mempunyai ba­nyak peluang tetapi berjaya menghasilkan lapan gol sahaja. Saya perlu lebih tajam lagi apabila di depan gawang gol pihak lawan.

“Saya mengambil lebih banyak pukulan sudut penalti kerana Muhammad Razie (Abd. Rahim) tiada tetapi peluang mungkin akan kurang apabila dia kembali menyertai pasukan selepas ini.

“Saya tiada masalah kerana kami bergilir-gilir mengambilnya kerana kejayaan pasukan lebih pen­ting,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Bagaimanapun, ‘ayam tambatan’ Pasukan Hoki Terengganu itu tetap gembira dengan anugerah tersebut kerana ia membakar semangatnya untuk membantu skuad negara mencapai keputusan cemerlang pada Piala Dunia 2018.

“Anugerah penjaring terbanyak merupakan satu pencapaian yang baik buat saya sebelum ke Piala Dunia 2018 bagi mencapai sasaran peribadi iaitu menamatkan kejohanan itu dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Saya perlu terus menja­ringkan gol bagi memastikan ia tercapai. Satu ke­puasan bagi diri saya sebag­ai penye­rang apabila dapat menja­ringkan gol,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN