ISKANDAR PUTERI 3 Okt. – Pertubuhan dan golongan belia di negeri ini disaran untuk meneroka pelbagai cabang yang terdapat dalam sukan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-Sports.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, saranan itu adalah sejajar dengan persiapan Johor untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2020.
“Pertubuhan dan golongan belia di negeri ini disaran agar mula mengeksplorasi pelbagai cabang e-Sports bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga sebagai jurulatih, pengadil, penganjur acara dan pengurusan bakat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Akademi E-Sukan (AOES) di sini kelmarin.
Syed Saddiq berkata, kementeriannya mengiktiraf AOES sebagai pusat akademik bertauliah untuk pengkhususan dalam bidang e-Sports.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Muar, Iskandar Puteri juga akan dinobatkan sebagai hab kecemerlangan sukan e-Sports Malaysia.
“Kementerian akan menempatkan peserta yang berkelayakan ke akademi ini selaras dengan aspirasi kami untuk menempah nama dalam bidang e-Sports di gelanggang global,” katanya.
AOES yang ditubuhkan Iskandar Investment Berhad (IIB) dan mula beroperasi tahun lalu merupakan satu-satunya akademi di negara ini yang menawarkan program berstruktur e-Sports.
Bagi mereka yang berminat menjadi e-Atlet, streamer, jurulatih, pengurus atau penganalisis, program Atlet Profesional (Dota 2) dan program Pengurusan Acara-acara e-Sports (Dota 2) antara yang ditawarkan di akademi ini.
Sehingga kini, akademi berkenaan telah melahirkan seramai lapan graduan.











