IPOH 18 Okt. – Kelicikan sebuah pusat hiburan dan karaoke di Jalan Canning Estate di sini yang menyembunyikan 14 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing di dalam sebuah bilik rahsia di belakang panel elektrik, terbongkar selepas lebih dua jam diserbu Jabatan Imigresen.
Dalam Ops Mega 3.0 diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali di tujuh lokasi bermula kira-kira pukul 9 malam semalam di sini, anggota imigresen berdepan kesukaran selepas pemilik premis enggan memberikan kerjasama.

“Kami percaya pusat hiburan ini mengupah warga asing, hasil maklumat orang awam dan risikan, namun pada awal serbuan, tiada seorang pun GRO warga asing itu ditemui.
“Ia sangat menghairankan, namun usaha keras dan tidak berputus asa pegawai dan anggota kami selama lebih dua jam, akhirnya, bilik persembunyian tersebut dijumpai di belakang panel elektrik,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan, awal pagi ini.
Tambah Mustafar, tindakan pemilik premis menyembunyikan pekerja asing di dalam bilik seluas 10 x 1 meter di belakang panel elektrik, bukan sahaja membahayakan mereka, malah boleh mengancam nyawa anggota Jabatan Imigresen.
“Siasatan awal kami mendapati bilik rahsia yang digunakan di belakang panel elektrik itu telah diubah suai selain disediakan minuman air botol sebagai bekalan ketika menyembunyikan diri.
“Di premis ini, kami menahan lapan pekerja GRO wanita warga China dan enam wanita Vietnam selain 13 pelayan minuman warga tempatan,” katanya.
Menurut beliau, enam lagi lokasi serbuan pula melibatkan gerai menjual air, kedai gunting rambut, pusat refleksologi, hotel, pusat hiburan dan kilang.
“Seramai 120 individu diperiksa dan Jabatan Imigresen telah menahan 74 warga asing serta 21 majikan,” katanya.










