BIARPUN mengalami patah tulang bahu serta kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), namun ia tidak menjadi penghalang buat pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin untuk beraksi pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.
Adam yang beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing mengakui dia sudah mengharungi dua perlumbaan sebelum ini dalam keadaan sedemikian selepas terjatuh pada GP Jepun di Litar Twin Ring Motegi, sekali gus menyuntik semangatnya untuk berlumba di Sepang.
Pelumba berusia 20 tahun itu juga berkata, dia sedia untuk mengambil ubat penahan sakit bagi menghadapi GP Malaysia memandangkan agak kurang selesa beraksi dengan kecederaan seperti itu.
“Buat masa sekarang, saya ada kecederaan yang agak serius apabila dua tulang patah pada bahu kiri selepas terjatuh di Jepun sebelum ini dan ia masih belum baik. Selain itu, saya juga alami kecederaan ACL pada lutut kiri selepas jalani pemeriksaan semalam (kelmarin).
“Bagaimanapun, saya sudah tempuh dua perlumbaan dalam keadaan begini, jadi saya akan teruskan sahaja. Mungkin sukar sedikit tetapi ubat penahan sakit mampu membantu,” katanya ketika ditemui di Bandar Utama, Damansara semalam.
Adam juga tekad untuk menamatkan perlumbaan GP Malaysia pada kedudukan podium memandangkan ini merupakan penampilan terakhirnya dalam saingan Moto3 kerana bakal beraksi dalam kempen Kejuaraan Remaja Dunia (CEV) Sepanyol tahun depan.
Selain itu, dia juga berharap mampu meleburkan catatan masa terpantas ketika perlumbaan, 2’12.775 saat (s) sekiranya cuaca berada dalam keadaan baik.
“Agak sedih kerana saya tidak akan beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tahun depan dan ini adalah penampilan terakhir saya di Sepang. Mungkin agak sukar tetapi saya sasar untuk menaiki podium.
“Sekiranya cuaca serta prestasi jentera berada dalam keadaan baik, insya-Allah saya mahu pecahkan rekod tahun lalu. Mungkin nasib saya baik tahun lepas kerana litar kering sepanjang saingan Moto3,” tambahnya.
Sementara itu, pelumba kelahiran Muar, Johor tersebut tidak meletakkan sasaran tinggi pada saingan CEV tahun depan memandangkan setiap pelumba bakal menggunakan komponen serta casis Moto2 musim ini.
“Berhubung saingan di CEV tahun depan, sasaran tak letak tinggi kerana belum pernah cuba Moto2 sebelum ini tetapi apa yang pasti saingan sangat kompetitif kerana casis serta komponen Moto2 musim ini akan digunakan dalam saingan CEV,” ujarnya.










