KUALA LUMPUR 17 Okt. – Dua pelajar warga Bangladesh berdepan detik cemas apabila seorang daripada mereka diacukan pisau di leher sehingga menyebabkan kecederaan pada bawah dagu dalam kejadian samun di simpang Jalan Terasek 3 dan Jalan Terasek 6, Bangsar Baru pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu berlaku selepas kedua-dua wanita jurusan Pemasaran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu baru selesai menjamu selera di sebuah restoran dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.
“Semasa melalui simpang Jalan Terasek 3 dan Jalan Terasek 6, tiba-tiba seorang lelaki keluar dari celah kenderaan dan memeluk seorang daripada mereka dari arah belakang sebelum meletakkan pisau di bawah dagunya sehingga mendatangkan kecederaan.
“Suspek meminta mangsa dan rakannya menyerahkan barangan berharga. Ketika mangsa tunduk hendak menyerahkan barang kepada suspek, dia telah mengambil kesempatan melarikan diri bersama dengan rakannya. Suspek tidak mengejar mereka sebaliknya turut melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ruslan berkata, mereka kemudian menghubungi Grab untuk pergi mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa samun. – UTUSAN ONLINE










