Sajian empat negara dalam satu pinggan - Utusan Malaysia

Sajian empat negara dalam satu pinggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perbezaan budaya tidak menjadi halangan buat penggemar makanan untuk menikmati sajian asing daripada pelbagai negara berbeza, sebaliknya, kepuasan mencuba cita rasa baharu yang belum pernah dirasai lebih diutamakan.

Bagi mereka yang mahu mencuba sajian dari negara-negara di Asia Tenggara, yang lazat dan asli, hidangan ala istana menanti di The Majapahit.

Restoran berkonsepkan mewah ini, menyajikan sajian dari Thailand dan Indonesia sebagai menu utama, selain turut dipengaruhi sajian dari Malaysia dan Vietnam.

Terletak di Arcosis Mont Kiara, Kuala Lumpur, restoran ini menawarkan aneka hidangan yang menyerlahkan persamaan dan kepelbagaian masakan popular yang ada di Asia Tenggara, diilhamkan daripada kegemilangan dan kehebatan kerajaan Majapahit.

Pengunjung dapat menjangkakan menu yang sama hebat, hasil air tangan cef dari Indonesia, Cef Pak Isan Santibi, yang cukup terkenal dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang kulinari.

Pernah menghasilkan menu yang lazat di restoran terkemuka, Bumbu Desa dan Ginger Thai sebelum ini, dapur The Majapahit yang dipimpin sepenuhnya oleh Cef Pak Isan, berjaya menghasilkan interpretasi kepelbagaian menu popular beberapa negara untuk memenuhi selera tempatan.

Pengurus Pemasarannya, Nelson How berkata, pengunjung dapat menikmati hidangan yang membolehkan mereka merasai kesemua menu Asia Tenggara, sekali gus di dalam satu pinggan.

Ini semua hasil kreativiti Cef Pak Isan bagi membolehkan pengunjung merungkai persamaan dan perbezaan masakan Asia Tenggara yang mereka kenali.

“Dari menu Signature Platters kami, sajian tapas, kepelbagaian juadah sup yang enak, hidangan salad yang menarik, mi serta nasi, sehinggalah kepada sajian utama yang terdiri daripada ayam, daging lembu dan makanan laut disalut rempah-ratus Asia Tenggara, pengunjung dapat menikmati kembara gastronomi dalam suasana tropika dengan dekorasi mewah.

“Dekorasi siling yang tinggi serta penggunaan tingkap luas, dilengkapi perhiasan hijau yang menenangkan, membolehkan restoran ini menerima pencahayaan semula jadi.

“Restoran ini juga sesuai dijadikan tempat pertemuan keluarga mahupun teman-teman yang mahu menikmati hidangan makan tengah hari, minum petang mahupun makan malam dalam suasana yang cukup santai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pengunjung boleh memulakan ‘pengembaraan’ dengan mencuba menu Signature Platter, yang mana setiap sajian menampilkan tiga atau empat variasi sajian Asia Tenggara untuk juadah yang sama seperti kari (Curry Galore), nasi goreng (Maha Rice Royale), kepak ayam (Royal Wings) dan sate (Satay of Southeast Asia) yang sentiasa menjadi kegemaran masyarakat tempatan.

Penulis berpeluang merasai sendiri empat jenis sate dari negara berbeza seperti Malaysia dengan sate ayam bersama kuah kacang, sate daging Indonesia, sate ikan Bali yang dicicah bersama sos kicap dan sate udang tebu Vietnam yang unik.

Bagi pilihan Curry Galore pula, setiap pinggan dihidangkan roti capati dan biskut cassava berserta empat variasi kari berbeza mengikut negara seperti kari daging merah Thai, kari ayam hijau Thai, kari sotong Indonesia, dan kari udang Malaysia.

Sajian Maha Rice Royale pula menampilkan nasi goreng dari tiga negara seperti nasi goreng nenas cita rasa orang Thailand, nasi goreng Thai, nasi goreng kampung yang sentiasa menjadi pilihan orang tempatan serta nasi goreng Indonesia.

Keenakan Royal Wings menyajikan tiga jenis kepak ayam rangup yang wajib dicuba, digaul bersama sos manis Indonesia, sambal pedas Malaysia dan sos Thai.

Bukan sekadar menawarkan hidangan platter yang boleh dikongsi antara dua hingga tiga orang, restoran ini juga menyajikan menu versi makanan jalanan Asia Tenggara dalam bentuk sajian kecil gaya tapas yang dinamakan SEA-Pas atau Southeast Asian Tapas.

Enak dinikmati sebagai pembuka selera atau snek bersama minuman yang menyegarkan, SEA-Pas merangkumi sajian Corn Fritters, iaitu jagung digoreng dengan bawang merah, Grilled King Prawns sajian udang yang disapu sos pedas manis berasaskan serai, ayam pandan Thai yang menyajikan sajian ayam yang digoreng harum, serta Braised Bean Curd yang dihidangkan bersama sos cicah signatur The Majapahit.

Sajian kegemaran ramai pastinya Malaysian Spicy Sambal Wings dan Indonesian Sweet Sauce Wings selain sajian yang wajib dicuba, Fish Fillet with Thai Sauce dengan sos masam manis resipi rahsia Cef Pak Isan.

Bukan itu sahaja,restoran tersebut turut menawarkan pilihan hidangan sup, salad, udang, ikan, ayam, daging, kari dan sayur-sayuran yang menjadi lauk-pauk hidangan utama pengunjung yang enak dinikmati bersama nasi putih panas.

Spicy Seafood Tom Yam yang pedas, Thai Stir-fried Baby Kailan, Crispy Flying Fish serta Sundanese Grilled Chicken empuk yang dipanggang sempurna melengkapi sajian makan tengah hari anda.

Jika mahukan sajian yang lebih berkrim, anda boleh mencuba Coconut Butter Chicken, ayam lembut yang dimasak dengan santan bersama campuran harmoni rempah yang ditumbuk atau sajian rendang Padang yang mempunyai sedikit rasa yang berbeza dengan rendang tempatan. 


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN