Rosmah didakwa 17 pertuduhan - Utusan Malaysia

Rosmah didakwa 17 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Selepas tiga kali bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihadapkan ke muka pengadilan dengan keseluruhan 32 pertuduhan, hari ini giliran isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 17 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah lebih RM7 juta.

Seperti suaminya, Rosmah, 67, yang bermalam di dalam lokap di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya malam tadi turut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya satu persatu oleh dua jurubahasa selama 25 minit di hadapan Hakim Azura Alwi.

Setiap kali pertuduhan selesai dibacakan, Rosmah yang memakai baju kurung corak bunga dan berselendang warna jingga serta beg tangan warna sama sambil berdiri di kandang tertuduh, mengangguk tanda faham serta menggeleng kepala seraya berkata “mohon bicara”.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pecahan pertuduhan, Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram dengan cara membenarkan kemasukan wang berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun bank miliknya dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan bagi wang tersebut kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuan­ku Abdul Halim di sini antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Bagi 12 pertuduhan membabitkan beratus-ratus transaksi aktiviti haram, Rosmah didakwa menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah antara RM30,000 hingga RM3,853,300 dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya.

Sementara baki lima pertuduhan, dia didakwa gagal membuat penyata bagi pendapatan tersebut yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya itu sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini