SEORANG kanak-kanak mungkin mengalami masalah menjelaskan segala gejala perubatan tetapi ekspresi wajahnya dapat mendedahkan tentang kebimbangan serta kesakitan.
Sehubungan itu, Syarikat Gaumard Scientific melancarkan robot pediatrik yang dikenali sebagai HAL S2225 (HAL) iaitu simulator pesakit kanak-kanak mudah alih wayarles dan paling maju.
HAL yang merupakan robot pesakit kanak-kanak berusia lima tahun dengan ketinggian 112 sentimeter itu direka untuk membantu pelajar perubatan dan profesional bagi meningkatkan kemahiran dalam penjagaan serta rawatan pesakit cilik.
Ia saling tidak tumpah seperti kanak-kanak sebenar yang mampu meniru emosi menerusi ekspresi wajah, pergerakan dan percakapan, berdarah dan mempunyai denyutan nadi.
Robot HAL menggunakan pelbagai teknologi baharu termasuklah robotik aktif yang membolehkan ia mensimulasi hampir 12 ekspresi muka seperti bimbang, marah, takut dan sakit.
Perubahan warna kulit dan pergerakan bebola mata juga mencerminkan emosi serta keadaan fizikalnya.
Sekiranya ia keletihan, kelopak mata HAL akan kelihatan layu.
“Kemahiran komunikasi yang baik sangat penting untuk mendiagnosis dan merawat kanak-kanak.
“Namun, sehingga kini, para pelajar dan doktor tidak mempunyai simulator pediatrik yang mempunyai kemampuan berinteraksi dengan mereka secara realistik,” kata Naib Presiden Syarikat Gaumard Scientific, John Eggert.
Tambahnya, menggunakan HAL, para pelajar boleh melakukan latihan dan menyelesaikan masalah seperti keadaan sebenar.
Gaumard menitikberatkan setiap saat rawatan rapi dan penjagaan berterusan bagi pesakit kanak-kanak.
Rawatan intensif
Oleh itu, HAL dicipta wayarles bagi membolehkannya mendapat rawatan tanpa gangguan dan mudah dipindahkan ke bilik kecemasan untuk mendapatkan rawatan intensif.
“Robot ini membolehkan para doktor dan pelajar menggunakan peralatan sebenar ke atasnya termasuklah prosedur kecemasan, pembedahan saluran udara, penyahmampatan jarum dan pemasangan tiub dada tiorostomi.
“Prosedur itu seperti dilakukan ke atas manusia sebenar,” tuturnya.
HAL mempunyai sensor pesakit sebenar dan kepatuhan paru-paru dinamik yang bertindak balas terhadap pengudaraan mekanikal.
Justeru, pelajar boleh mengasah kemahiran mereka dengan mengendalikan peralatan seperti dalam keadaan klinikal yang sebenar.
Dijual pada harga AS$48,000 (RM199,000), HAL direka dengan 10 senario untuk meniru keadaan klinikal sepanjang rawatan pesakit kanak-kanak.
Syarikat Gaumard Scientific yang berpangkalan di Amerika syarikat telah menghasilkan serta memasarkan simulator untuk pendidikan kesihatan sejak enam dekad lalu.
Pelanggannya termasuk tentera, perkhidmatan perubatan kecemasan, pusat pengajaran di hospital dan sekolah kejururawatan.
Pada tahun 2000, syarikat itu telah melancarkan simulator penjagaan ibu dan bayi yang mengubah cara latihan dilakukan.
Tidak terhenti di situ, pada tahun 2004, syarikat tersebut telah mempelopori dengan memperkenalkan simulator keluarga HAL.
Pada tahun 2014, mereka memperkenalkan Victoria iaitu simulator ibu mengandung yang paling maju.
Selepas itu, tahun 2017 pula, ia mengubah industri pendidikan penjagaan kesihatan dengan simulator bayi baru lahir untuk mempersiapkan petugas seperti dalam persekitaran sebenar.
Lebih yakin
Pada tahun 2018, Syarikat Gaumard Scientific menghasilkan robot pesakit kanak-kanak paling maju di dunia.
“Pesakit muda menghadapi cabaran fizikal, emosi dan psikologi unik kepada penjagaan kesihatan.
“Simulator termaju ini membantu para petugas perubatan bagi menangani beberapa cabaran ini agar mereka berasa lebih yakin untuk melaksanakan tugas dengan baik,” tutur Dr. Rakshay Shetty yang membuat kajian kepentingan simulator dalam bidang pediatrik.
Ujarnya lagi, pelajar juga dapat memahami senario kehidupan sebenar dalam persekitaran bebas risiko dan mempercepatkan proses pembelajaran dengan teknik yang betul.
HAL bukan sahaja seperti seorang kanak-kanak lelaki tetapi dia juga berkelakuan sama seperti budak lelaki sebenar.
Dia boleh menggerakkan matanya ke kiri dan kanan, menjawab soalan, menangis memanggil ibu dan mengalami kejutan anafilaktik.
Reaksi
Dia juga boleh bernafas dengan cepat dan terkencing jika terlalu takut.
“Hal juga membolehkan doktor dan jururawat pelatih untuk menjalankan pelbagai ujian seperti mengambil tekanan darah, memeriksa nadi dan memantau pernafasan.
“Pelatih juga boleh menggunakan peralatan sebenar seperti mesin EKG, monitor jantung, tekanan darah, pisau bedah dan tiub pernafasan untuk melakukan prosedur perubatan yang realistik,” ulas Shetty.
Apabila badannya dicucuk dengan jarum atau dibedah ia akan mengeluarkan cecair kelihatan seperti darah malah turut mempunyai air kencing.
Beberapa bahagian badan tertentu yang rosak oleh jarum atau pisau bedah boleh diganti dengan kulit baharu.
Ketika pelajar melakukan rawatan, robot itu turut memberi reaksi seperti menangis atau berkata ‘ouch’ apabila dicucuk dengan jarum.
Ia juga meniru mimik muka menahan kesakitan dan tidak selesa seperti yang sering dilakukan oleh kanak-kanak.
Sementara itu, Pengarah Perubatan Inisiatif Menghidupkan semula bagi Kecemerlangan Resusitasi di Sekolah Perubatan, Universiti Stanford, Marc Berg berkata, robot kanak-kanak lelaki yang dibina daripada kerangka manusia sintetik itu dapat mensimulasi banyak masalah perubatan.
“Pelajar dapat meningkatkan pengetahuan mereka dengan menggunakan robot simulator ini yang seolah-olah merawat manusia sebenar tanpa melakukan ujian ke atas sukarelawan
“Fungsi-fungsi HAL termasuklah serangan jantung, kejutan anafilaktik, mempunyai gula dalam darah, tahap oksigen dalam darah dan karbon dioksida,” tuturnya.
Dalam sebuah video promosi, doktor bertanyakan HAL tentang berapa banyak skala sakit kepala dan dia menjawab lapan.
Bagi kecederaan yang parah, mesin sebenar boleh digunakan ke atasnya seperti dikejutkan defibrilator dan apabila ia bangun, HAL boleh diset dengan beberapa keadaan emosi seperti lesu, marah dan cemas.
Idea tersebut bertujuan untuk membuatkan HAL tidak ubah seperti kanak-kanak sebenar.











