KUALA LUMPUR – Tempoh perkhidmatan bagi jawatan Perdana Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sahaja, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, had tempoh perkhidmatan itu juga melibatkan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri sebagai langkah untuk mereformasi sistem politik.
“Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal.
“Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain,” katanya ketika membentangkan usul mengenai kajian separuh penggal Rancangan malaysia ke-11 (RMK-11) 2016-2020 di Dewan Rakyat di sini petang ini.
Menurut, penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media.
“Had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenal,” katanya. – K! ONLINE









