TANGGAL 5 Disember 2017 cukup berbekas pada hati pelakon, Zul Ariffin. Pada tarikh itu, dia kehilangan bonda tersayang. Rubiah Nasir.
Masih tergambar raut wajah insan paling disayangi di ruang mindanya bahkan gelak tawa dan titipan madah bernilai tidak pernah terhakis dalam kotak fikiran pemuda tinggi lampai itu.
Lebih 10 bulan melangkah sunyi tanpa doa dan restu ibu, Zul mengakui, rindu terhadap wanita kesayangannya itu akan kekal abadi. Tidak sedetik dia melupakan kasih ibunya.
Lima tahun meyakinkan wanita itu untuk menerima kerjayanya, pelakon tampan ini sedar laluan yang diambil tidak direstui.
“Masih terasa kehilangan. Bukan mudah untuk saya melalui semua ini, dia adalah dunia, dia juga adalah syurga saya. Dahulu sebelum saya terima tawaran saya akan tanya dia, patut atau tidak saya terima.
“Kini semua bergantung kepada diri sendiri, sebab itu, saya cukup rindu dengan nasihat dan kata-katanya. Arwah pernah halang saya sertai industri, mungkin dia risau dengan duri ranjau dunia seni.
“Tapi saya yakinkan dia. Bawa dia menonton tayangan perdana filem lakonan saya. Sedikit demi sedikit, dia terima dan akhirnya merestui kerjaya pilihan saya. Saya rindu momen itu semua,” katanya sambil mata menunduk ke lantai.
Bukan mudah untuk kita mengorek rasa rindu yang terbuku dalam hati pelakon berusia 32 tahun ini. Di luar, tubuh sasanya seperti tidak menunjukkan rasa, namun di dalam hati, tetap seorang anak yang rindukan ibunya.
“Dia selalu pesan kepada saya untuk jaga diri. Jangan cederakan diri sendiri. Mungkin itu adalah kerisauannya setiap kali saya keluar rumah. Dia khuatir kalau saya cedera.
“Dia suka ikut saya tonton tayangan filem. Dia tak pandai beri komen tapi kalau dia suka kita akan nampak. Sekarang saya menonton filem berseorangan, tiada lagi peneman,” katanya.
Produk sendiri? Nantilah
Mengutip pengalaman selama sedekad melayari bahtera seni, pelakon yang mula berlakon menerusi drama, Awan Dania ini semakin matang dan tahu membawa diri dalam industri.
Naskhah lakonannya sering kali pecah panggung menjadikan dia antara pelakon lelaki popular yang mendapat harga termahal. Tidak hairan, ada soseh-soseh mengatakan dia meletakkan harga tinggi untuk menjadi duta.
Hanya tergelak seraya menggelengkan kepala tatkala soalan itu diajukan, Zul berkata, tugas sebagai duta menuntut komitmen yang cukup tinggi dan dia melihat semua itu dari sudut pandang dunia perniagaan.
“Tak boleh cakap begitu, kita kena lihat dari sudut perniagaan. Semua ingat jadi duta boleh dapat bayaran tinggi. Ada proses timbang taranya sebelum bersetuju dengan harga yang diberi.
“Saya seorang pelakon yang dilantik untuk mempromosikan produk mereka, situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak. Sebab itu saya kata ini perniagaan,” katanya yang baru dilantik sebagai duta produk penjagaan rambut, Code 10.
Diaju soalan, tidakkah terfikir untuk mengeluarkan produknya sendiri, Zul berkata, dia masih belum bersedia untuk menceburi bidang perniagaan dan lebih fokus kepada dunia seni.
Bukan tidak pernah terfikir, namun dia sedar untuk memulakan sesebuah perniagaan, dia harus memberi komitmen yang cukup tinggi dan seboleh-bolehnya pelakon itu tidak mahu melakukan sesuatu dengan sambil lewa.
“Mungkin saya akan keluarkan produk sendiri tetapi biarlah saya di belakang tabir sahaja. Saya nak membangunkan perniagaan itu secara diam-diam. Biar produk yang ke hadapan.
“Memang ada tawaran untuk berkolaborasi tapi semua itu kena fikir panjang. Tak boleh main setuju sahaja. Kita mahu kekal lama dalam dunia perniagaan, seiring dengan kerjaya sebagai pelakon,” ujar bintang utama filem J Revolusi itu lagi.
Berbicara tentang kerjaya seni, biarpun menerima pujian setelah berjaya membawakan watak komedi dalam filem pecah panggung, Hantu Kak Limah (HKL), Zul lebih mahu memberi fokus kepada naskhah bergenre aksi terlebih dahulu.
Jelas pelakon kelahiran Perak ini, filem bergenre komedi itu datang tepat pada waktunya dan setelah meneliti skrip, pengarah dan barisan pelakon lain, Zul menerima tawaran tersebut.
“Berlakon naskhah komedi ini tanggungjawabnya besar. Kalau watak saya seorang sahaja yang komedi, pasti tidak akan berjaya. Bantuan pelakon lain sangat memberi sokongan.
“Bukan tak mahu berlakon filem atau drama komedi cuma lebih baik jika saya lebih beri fokus kepada naskhah yang sesuai. Penonton muda juga dilihat semakin terbuka dengan filem aksi tempatan,” kata Zul mengakhiri perbualan.










