KOTA BHARU – Tindakan beberapa bekas pemain The Red Warriors (TRW) mengemukakan saman terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menambahkan lagi tekanan kewangan persatuan itu bagi menyelesaikan masalah terutamanya pemilikan lesen kelab untuk beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya sedaya upaya untuk mendapatkan lesen kelab namun perlu menyelesaikan hutang lapuk pemain seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Semakin kami berusaha bayar hutang, semakin menjadi-jadi tuntutan daripada pemain seolah-olah mereka tahu syarat untuk mendapatkan lesen mesti menyelesaikan hutang terlebih dahulu menyebabkan kami semakin tersepit.
“Kami hairan ada pemain sebelum ini sudah dua tahun tidak dibayar gaji namun tidak pernah membuat laporan tetapi kini mereka beria-ria mahu buat laporan seolah-olah menjadi ruang kepada mereka apabila KAFA terdesak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
FAM sebelum ini dalam satu kenyataan menerusi lawan sesawang rasminya menjelaskan pasukan Liga Super 2018 iaitu Kelantan FA telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana gagal menepati kriteria yang ditetapkan. – Bernama









