PUTRAJAYA 18 Okt. – Rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lagi terhadap keputusan yang membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam dibin atau dibintikan kepada bapanya, tidak akan didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan.
Sebaliknya, keputusan penting itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim meskipun dua daripada lima hakim yang mendengar rayuan tersebut, telah bersara.
Ketiga-tiga hakim itu terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali.
Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim bersidang ketika rayuan itu didengar pada 7 Februari lalu, telah meletak jawatan manakala Tan Sri Hasan Lah bersara bulan lalu.
Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mempengerusikan panel tujuh hakim bersidang hari ini memberitahu, keputusan kes berkenaan akan ditentukan pada satu tarikh lain oleh panel asal.
JPN, Ketua Pengarahnya serta Kerajaan Malaysia merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan anak luar nikah pasangan beragama Islam tidak perlu lagi mengunakan bin atau binti ‘Abdullah’, sebaliknya mereka boleh menggunakan nama bapa masing-masing dalam sijil kelahiran.
Dalam rayuan tersebut, kanak-kanak lelaki itu merupakan anak tidak sah taraf kerana dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh). Dia dilahirkan pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam).
JPN sebelum ini menghujahkan bahawa agensi itu betul ketika bersandarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 1981 dan 2003 berhubung perkara penamaan anak tak sah taraf (anak luar nikah).
Hujahnya, walaupun fatwa berkenaan tidak diwartakan di negeri Johor, JPN tidak melangkaui bidang kuasa ketika merujuk fatwa sebelum mendaftarkan `Abdullah’ sebagai nama keluarga dalam sijil kelahiran kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu.
* Fatwa 1981 memutuskan anak zina atau luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada Abdullah.
* Fatwa 2003 pula memutuskan anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada anak tersebut.
Oleh kerana Seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai kepada umat Islam ketika mendaftarkan kelahiran, rujukan terhadap fatwa adalah perlu.
Dalam pada itu, K. Shanmuga yang mewakili kanak-kanak itu dan kedua-dua ibu bapanya berhujah, tiada asas yang rasional untuk memalukan seorang kanak-kanak dengan mengiktirafnya sebagai anak luar nikah. – UTUSAN ONLINE










