SEJAK lama dahulu sebelum Zahrina Mohd. Saat, 58, membuka Rumah Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Al-Faeez (Al-Faeez), dia suka pergi ke rumah anak-anak yatim sekitar Lembah Klang bagi membantu melakukan kerja-kerja sukarela apabila ada kelapangan.
Dia cukup gembira dan berlapang dada apabila dapat menghulurkan bantuan dari segi tenaga kepada anak-anak yatim yang menghuni rumah kebajikan yang dilawatinya.
Pernah menjadi pengurus produksi di Skop Production, peluangnya untuk berbakti diperluas Tuhan apabila suatu hari ada hamba Allah yang hendak mewakafkan sebuah rumah banglo di atas bukit di Kampung Salak, Batu 9 1/2 Gombak, Kuala Lumpur bagi dijadikan rumah anak yatim dan asnaf.
Baginya, bukan mudah hendak membuat keputusan kerana tanggungjawab yang dipikul sangat berat. Dia bertanya kepada ayah dan kawan-kawan, dan mereka semua meyakinkan bahawa dia boleh melakukannya.
Tahun 2011, tertubuh rumah anak yatim ini yang boleh memuatkan seramai 30 penghuni, 15 orang berumur di bawah 12 tahun dan 15 orang lagi berumur 13 tahun ke atas.
Kesemuanya lelaki kerana baginya lebih mudah daripada segi pengurusan kanak-kanak tersebut jika tidak dicampurkan dengan perempuan.
Bertemu dengan ibu kepada tiga orang anak dan seorang cucu itu baru-baru ini, dia yang dipanggil Ummi Zana oleh anak-anak yatim dan asnaf berkata, jalannya untuk berbakti dipermudah Tuhan.
Sepasang suami isteri yang membina rumah ini untuk bapa mereka telah mewakafkan rumah ini bagi dijadikan rumah anak yatim setelah orang tua tersebut meninggal dunia.
Ujarnya, apabila memelihara kanak-kanak yang berbeza latar belakang di bawah satu bumbung memang banyak cabaran.
Justeru itu, dia perlu mempersiap diri dengan banyak ilmu dan mendapat sokongan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
“Kanak-kanak yang paling kecil di sini berumur tiga tahun sementara yang paling besar 19 tahun. Bagi yang bersekolah rendah, mereka dihantar ke Sekolah Rendah Gombak Utara dan yang bersekolah menengah ke Sekolah Menengah Gombak Setia. Penghuni yang telah tamat sekolah menengah pula dihantar mempelajari kemahiran di GiatMara Batu Caves.
“Mereka pergi dan balik sekolah menaiki van rumah ini yang disumbangkan oleh orang perseorangan, korporat dan kawan-kawan. Saya tidak membenarkan mereka ke sekolah dengan pengangkutan awam.
“Perjalanan mereka hanya ke sekolah, pulang ke rumah dan ke kelas tuisyen. Jika ada yang terpaksa pulang lewat kerana perlu menghadiri kelas tambahan atau kokurikulum, saya akan meminta anak saya menjemput mereka,” katanya.
Zahrina menambah, selain dia, ada dua orang lagi pengasas bersama, iaitu Norzana Rafie, 42, seorang akauntan bertauliah yang banyak menguruskan kewangan rumah ini dan Datuk Mohd. Hifdzi Hamzah, seorang peguam.
Kanak-kanak ini ujarnya, sebenarnya cerdik dan jika diberikan didikan yang lengkap, mereka boleh berjaya, namun atas desakan hidup, mereka terpaksa tinggal di sini.
Bagaimanapun, Zahrina tidak mahu mereka berasa rendah diri atau sedih kerana tidak mempunyai keluarga yang lengkap seperti kanak-kanak lain.
Sebaliknya, dia akan memastikan mereka hidup seperti anak-anak yang berada bersama keluarga sendiri.
“Saya faham perasaan mereka. Apabila mereka tinggal di rumah kebajikan, mereka akan berasa sedih. Saya cuba sedaya-upaya supaya mereka tidak berasa tersisih.
“Sebab itu apabila ada duit lebih, saya akan bawa mereka bermain futsal, menonton wayang atau pergi bercuti. Saya tidak mahu mereka ketinggalan zaman kanak-kanak mereka.
“Tahun lepas saya bawa empat pelajar yang baru selesai peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) bercuti ke Bali. Saya mahu mereka seronok dan berasa seperti bersama keluarga dan berpeluang bercuti,” katanya.
Tambah Zahrina lagi, anak-anak yang telah tamat SPM akan ditanya sama ada mahu pulang ke pangkuan keluarga atau mengikuti kemahiran di GiatMara, malah diusahakan untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi.
Zahrina berkata, Al-Faeez menerima apa sahaja bentuk sumbangan sama ada barang makanan kering, makanan basah seperti ayam, ikan, daging, telur dan sebagainya, wang dan apa sahaja.
Mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan termasuk elaun lima orang pekerja, seorang ustaz, makanan, belanja sekolah dan bil. Air percuma kerana mereka mendapat saluran air gunung berhampiran rumah.
Zahrina turut berniaga baju kurta secara dalam talian melalui Instagram, HA. Garment. Bagi setiap pembelian sehelai baju ini, RM10 akan dimasukkan ke dalam tabung rumah ini.
Kepada mereka yang hendak menghulurkan sumbangan, boleh datang sendiri ke rumah ini atau menghubungi Zahrina pada talian 016-2627412 atau e-mel [email protected].










