Rasa ingin tahu bawa ke pelosok dunia - Utusan Malaysia

Rasa ingin tahu bawa ke pelosok dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memulakan aktiviti pengembaraan selepas mengikuti pengajian seni bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada mulanya Neollene Ain terbang ke luar negara untuk mengkaji bangunan dan pelan perancangan bandar bagi menyiapkan kerja khusus bersama rakan sekuliah. Waktu itu dia memilih Bangladesh sebagai negara kajian.

Perbezaan dalam seni bina setiap tempat yang dilawati memberi inspirasi kepada gadis ini untuk pergi ke lebih banyak negara.

Dia bagai mendapat kepuasan yang sukar digambarkan apabila melihat seni bina yang mencerminkan budaya masyarakat setempat pada era tersebut.

Meneruskan aktiviti yang sama setelah menyambung pengajian sarjana di University of Western Australia, Perth, Neollene menggunakan kesempatan tersebut untuk menjelajah ke seluruh Australia.

Aktiviti itu sedikit sebanyak mengubah landskap hidupnya untuk menjadi seorang individu yang lebih berani dan berdikari di negara orang.

namun, sekembali ke negara selepas tamat belajar, Noeollne diduga dengan kematian bapa pada 2014, yang kemudian menjadi titik tolak kepada wanita ini untuk mengembara ke tempat yang lebih jauh mengutip sejuta pengalaman baharu.

Ujarnya, sejak kecil lagi, dia sekeluarga sering berpindah-randah kerana bapanya bekerja sebagai pegawai kerajaan, namun mereka tidak pernah mengeluh malah menganggap ia bukan suatu yang menyusahkan.

Bagi bapanya, berada di tempat baharu mampu membuka minda untuk menerima budaya, mengenali lebih ramai orang dan keluar dari zon selesa.

Katanya, arwah bapa juga amat gemar melancong bahkan mereka sekeluarga sempat ke Indonesia untuk percutian keluarga sebelum terlantar sakit.

“Umur ayah tidak panjang, arwah tidak sempat memenuhi impian untuk mengembara ke lebih banyak negara selepas bersara.

“Sejak itu saya tekad untuk membawa keinginan dan impian ayah yang suka melihat dunia luar. Setiap kali saya mengembara, saya merasakan seolah-olah ayah ada di sisi, bangga melihat saya menjadi sepertinya, mampu berdikari, berani berhadapan cabaran dan tidak gentar mempelajari perkara baharu.

“Dua bulan selepas ayah meninggal dunia, saya membawa diri ke Eropah selama tiga minggu. Itulah permulaan saya untuk serius mengembara kerana sifat ingin tahu terhadap sesuatu negara, budaya orang, cara hidup masyarakat setempat dan sebagainya.

“Saya juga sukakan alam semula jadi dan sentiasa mempunyai keinginan untuk merakamkan gambar-gambar indah alam ciptaan tuhan. Saya bawa sekali minat terhadap dunia fotografi dalam setiap pengembaraan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak kisah mengembara berkumpulan, namun kebanyakan pengembaraan dilakukan secara solo bagi memupuk nilai survival dalam diri dan menggunakan kesempatan tersebut untuk berinteraksi dengan masyarakat tempatan.

Katanya, dengan mengembara solo, dia dapat melihat kemampuan diri dalam mengatur perancangan, biarpun pada mulanya agak gementar, bimbang tentang aspek keselamatan.

“Bergerak solo tidaklah menakutkan seperti yang digambarkan, lebih-lebih lagi kalau kita dah buat persiapan rapi,” katanya yang adakalanya turut mengembara bersama beberapa rakan bagi mengurangkan kos perjalanan.

Mengejar keindahan aurora borealis

Pengalaman manis yang tidak boleh dilupakan oleh Neollene, ketika mengembara ke bumi Scandinavia, iaitu Norway, apabila dapat melihat sendiri fenomena alam semula jadi paling menakjubkan, aurora borealis.

Pengalaman itu membuka matanya terhadap bukti kebesaran Allah S.W.T.

Katanya, ramai pengembara mengejar fenomena tersebut sehingga ke Iceland, namun dek cuaca buruk dan awan tebal, biasanya mereka akan pulang hampa.

Begitupun, Neollene bernasib baik kerana kali pertama menjejakkan kaki ke Norway, sudah berjaya menyaksikan ‘pertunjukan’ cahaya semula jadi di langit.

Disebabkan minat yang mendalam terhadap pengembaraan, dia juga berjaya mengembara menaiki kereta api Trans-Siberian, iaitu laluan kereta api terpanjang di dunia yang menghubungkan Beijing, China ke Saint Petersburg, Rusia, dengan memakan masa lima hari.

Ketika itu, dia memilih untuk turun di Irkutsk, Kazan dan Moscow untuk melawat destinasi menarik di sana.

Neollene memberitahu, dia gemar melawat negara atau destinasi yang jarang dikunjungi pelancong kerana mahu mencuba perkara baharu.

“Disebabkan tekad itu juga, saya berpeluang memandu sendiri di sepanjang laluan banjaran gunung ganang yang dipanggil Canadian Rockies.

“Lokasi tersebut memang menjadi impian setiap pengembara kerana pemandangannya yang sangat cantik dan menakjubkan seakan-akan tidak ada penghujungnya.

“Bukan semua orang berpeluang untuk melihat pemandangan seumpama itu. Saya gembira kerana dapat memenuhi salah satu impian sebagai seorang pengembara,” katanya.

Meskipun jarang berdepan dengan situasi buruk, Neollene mengakui tidak dapat melupakan pengalaman sepanjang mengembara ke Rusia kerana sikap kasar dan kurang mesra masyarakatnya terhadap pelancong luar.

Ujarnya, dia pernah dilayan kasar oleh penyambut tetamu ketika mendaftar masuk ke sebuah hotel gara-gara berbahasa Inggeris, bahkan diherdik oleh seorang wanita tua di dalam kereta api kerana terlanggar bahunya.

“Namun, saya tidak serik bahkan jika diberi kesempatan untuk ke sana lagi, saya mahu mengembara ke lebih banyak tempat di Rusia. Bagi saya sebagai pengembara, kita perlu bijak berdepan dengan situasi sebegitu dan lebih berhati-hati dengan orang sekeliling.

“Apa yang penting tunjukkan mereka kebaikan serta contoh yang baik sebagai orang Muslim dan mungkin dengan menonjolkan sifat tersebut dapat mengubah persepsi mereka terhadap orang luar,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Ceburi bidang penyiaran

Berpeluang untuk merakamkan detik-detik indah ketika mengembara, karya fotografi dan video travelog, Neollene yang dikongsi dalam media sosial, berjaya memberi idea dan inspirasi kepada orang ramai terutama pengikutnya untuk turut keluar mengembara.

“Saya tidak tahu apa yang telah saya lakukan sehingga boleh memberi kesan sebegitu sekali. Tidak sangka, cerita dan gambar-gambar saya memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengejar impian mereka.

“Apapun, saya percaya pengembaraan adalah sebuah pengalaman, jadi saya amat gembira jika saya dapat menyampaikan cerita dan berkongsi pengalaman menerusi gambar dan video.

“Saya tidak pernah menerima pendidikan formal dalam bidang fotografi dan suntingan video, namun kerana meminatinya sejak kecil lagi, saya berjaya membawa minat ini seiring dengan pengembaraan saya.

“Penghargaan terhadap penghasilan karya-karya ini juga memberi peluang kepada saya untuk membuat sesi perkongsian yang ditaja oleh Sony Malaysia sebagai key opinion leader berkongsi tentang fotografi dan videografi kembara,” katanya yang menggunakan kamera jenis Sony A7Rii dan alat bantu gimbal jenis Zhiyun Crane 2.

Tambahnya, kedua-dua minat tersebut juga telah membuka ruang baharu kepadanya dalam bidang penyiaran apabila ditawarkan untuk membantu menerbitkan sebuah program travelog televisyen, iaitu Haramain Backpacker, Haramain Backpacker 2 dan Syamail Muhammadiah yang disiarkan di Astro Oasis, meskipun ketika itu dia masih lagi bekerja sebagai arkitek di sebuah firma swasta.

Setelah lima bulan mengumpul pengalaman bekerja di belakang tabir, Neollene mengambil keputusan melepaskan kariernya dalam dunia seni bina dan memberi fokus kepada penerbitan program televisyen dengan membuka syarikat produksi, Lumiere Pictures Sdn. Bhd.

Hampir setahun menubuhkan syarikat, dia juga mendapat peluang bekerjasama dengan saluran baharu, Astro Naura yang merupakan sebuah saluran gaya hidup Muslim kontemporari dengan tawaran kandungan program Islamik.

Setakat ini, dia telah berkesempatan menerbitkan montaj Verses of Love, program bual bicara Bidadari Dunia dan adaptasi newsletter bertajuk Tuesday Love Letter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN