KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan didapati berbelanja lebih dalam perbelanjaan isi rumah pada 2016, sekali gus mengurangkan pendapatan boleh guna mereka, demikian didedahkan dalam laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
KRI dalam laporannya mengenai “Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza”, yang dilancarkan hari ini melaporan bahawa purata perbelanjaan isi rumah pada 2016 adalah RM4,033, meningkat daripada RM1,161 pada 1993.
Dalam sorotannya terhadap isu berkenaan, laporan itu menyatakan bahawa pada 2016, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,000 telah membelanjakan 94.8 peratus dari pendapatan mereka untuk barangan pengguna, meningkat dari 91.9 peratus dari pendapatan mereka pada 2014, manakala isi rumah yang berpendapatan atas RM15,000 sebulan hanya membelanjakan 45 peratus dari pendapatan mereka pada 2016, iaitu peningkatan dari 41 peratus daripada pendapatan mereka yang dibelanjakan pada 2014.
“Median pendapatan isi rumah pada 2016 ialah RM5,288, manakala kira-kira 67 peratus daripadanya dibelanjakan bagi perbelanjaan isi rumah, meningkat dari 65.1 peratus pada 2014,” kata laporan itu.
Ia menambah, ini bermakna lebihan pendapatan selepas ditolak perbelanjaan itu (baki pendapatan isi rumah), telah berkurangan bagi semua peringkat pendapatan.
Laporan itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, hari ini. – Bernama










