Rakyat digalak pelajari ilmu kemahiran asas selamatkan nyawa - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Rakyat digalak pelajari ilmu kemahiran asas selamatkan nyawa – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 19 Okt. – Semua rakyat negeri ini khususnya golongan pelajar digalakkan supaya mempunyai kemahiran asas menyelamatkan nyawa dan pertolongan cemas atau Resutasi Kardiopulmonari (CPR) kerana ia mampu menyelamatkan nyawa.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemahiran itu berguna sebagai rawatan awal sebelum rawatan khusus diberikan oleh pihak hospital.

Titah baginda, bimbingan bagi memberi pendedahan kemahiran asas pertolongan cemas dan kaedah rawatan pemulihan sistem jantung dan pernafasan itu, boleh diperoleh melalui program yang dianjurkan oleh agensi-agensi tertentu.

“Antaranya ialah Jabatan Kesihatan Negeri melalui kerjasama kepakaran tenaga pelatih daripada St. John Ambulance Perlis, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negeri dan Pusat Kesihatan Universiti Malaysia Perlis (Unimap),” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Program Bangun Jiwa Pelajar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Seluruh Negeri Tahun 2018’ di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, Bukit Keteri, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Turut hadir ialah Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Program tahunan itu adalah anjuran MAIPs dan mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri, pelbagai jabatan dan agensi-agensi terlibat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berharap semoga kerjasama program seperti itu akan memberi suntikan semangat kepada pelajar khususnya pelajar PT3 negeri ini dan semua pihak dalam membangunkan jiwa ke arah generasi yang terbaik demi agama, bangsa dan negara.

Untuk rekod, seramai 3,486 pelajar tingkatan tiga dari 27 buah sekolah di negeri ini terlibat dalam program projek diraja Perlis yang diberi nama ‘Bangun Jiwa’ ini.

Jumlah keseluruhan yang menduduki PT3 di Perlis tahun ini adalah seramai 3,832 termasuk calon-calon daripada Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan swasta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN