JELEBU – Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim hari ini mengesahkan ada dalam kalangan pemimpin dan wakil rakyat UMNO menyatakan hasrat menyertai Bersatu.
Namun, beliau berkata, nama-nama tersebut tidak akan diumumkannya pada masa ini bagi menghormati privasi masing-masing.
“Ada (yang akan sertai) tetapi, tidak rasmi lagi, baru angkat telefon, baru merisik khabar, (jadi) saya tidak boleh umumkan (nama) mereka.
“Saya katakan pada mereka, saudara adalah orang yang tidak ada masalah, tidak ada kes, (jadi) saya akan mengesyorkan pada Bersatu pusat untuk menerima mereka. Mereka yang jadi wakil rakyat dan nama-nama besar, saya mesti rujuk kepada Jawatankuasa Keahlian Bersatu tapi tidak menjadi masalah saya tengok (untuk terima mereka),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bersatu Bahagian Jelebu di sini petang tadi.
Rais memberitahu, Bersatu akan memberi pertimbangan kepada ahli UMNO yang ingin menyertai parti itu sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu.
“Di Negeri Sembilan, kami sedia terima sekiranya mereka mempunyai akhlak dan latar belakang yang baik.
“Syarat lain adalah mereka tidak muflis, tiada rekod jenayah dan tidak dilibatkan dalam sebarang skandal berkaitan kewibawaan parti,” ujarnya.
Beliau memberikan contoh bekas Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Yunus Rahmat yang telah menyertai Bersatu Bahagian Seremban. – K! ONLINE










